Bahasa

Harga saham dijangka menurun minggu depan

KUALA LUMPUR, 6 April — Harga saham di Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih rendah berikutan jangkaan lebih banyak jualan oleh dana tempatan, kata para peniaga.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan berkata dana institusi tempatan dijangka melakukan jualan sebagai satu perubahan taktik di segi peruntukan aset selepas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan paras harian tertinggi 1,700.55 pada Khamis.

“Sementara itu, para peruncit dijangka melakukan transaksi pada saham murah, yang boleh memberi kesan secara menurun terhadap kaunter saham berwajaran tinggi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimana pun, Nazri berkata penurunan pasaran tempatan dijangka memberi kesan minimum berikutan sokongan dana asing dan dana tempatan sebagai penjual.

“Pembelian bersih asing sangat menarik, yang berjumlah RM2.5 bilion sejak lima hari lepas dengan kebanyakan aliran masuk dana asing di dalam indeks teras berwajaran tinggi seperti Tenaga Nasional, Maybank, CIMB dan Genting,” katanya.

Katanya adalah menakjubkan untuk melihat pusingan mendadak 360 darjah oleh indeks utama, yang jatuh dan kemudiannya meningkat 60 mata berikutan jumlah dagangan yang besar RM2.89 bilion hanya dalam tempoh beberapa jam selepas Parlimen dibubarkan pada Rabu lepas.

“Di segi teknikal, FBM KLCI baru sahaja mencecah paras harian paling tinggi 1,700.55, yang mencerminkan bahawa kini adalah masanya untuk menarik diri dengan pantas.

“Sehubungan itu, bagi minggu depan, kami menambat paras 1,680 dan 1,660 sebagai sokongan, dengan paras 1,700 sebagai paras halangan utama,” kata Nazri.

Tanpa mengira tahap pembetulannya, katanya mana-mana kelemahan prapilihanraya umum adalah peluang membeli yang baik, berikutan pembentukan besar kecairan domestik.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 17.02 mata kepada 1,688.65 berbanding 1,671.63 pada Jumaat lepas.

Indeks Kewangan meningkat 213.75 mata kepada 15,905.67 berbanding 15,691.92 pada Jumaat lepas manakala Indeks Perusahaan menambah 9.68 mata kepada 2,885.41 berbanding 2,875.73 sebelum ini.

Indeks Perladangan meningkat 92.50 mata kepada 7,996.39 berbanding 7,903.89 sebelum ini manakala Indeks FBM Emas menokok 147.84 mata kepada 11,568.33 berbanding 11,420.49.

Indeks FBMT100 meningkat 138.21 mata kepada 11,395.65 berbanding 11,257.44, dengan Indeks FBM Mid 70 meningkat 254.11 mata kepada 12,880.05 berbanding 12,625.94 dan Indeks FBM Ace melonjak 19.95 mata kepada 4,028.29 berbanding 4,008.34 pada Jumaat lepas.

Perolehan mingguan meningkat kepada 4.917 bilion saham bernilai RM9.769 bilion berbanding 4.048 bilion saham bernilai RM8.904 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan pasaran utama meningkat kepada 4.21 bilion saham bernilai RM9.663 bilion berbanding 3.193 bilion saham bernilai RM8.8 bilion sebelum ini.

Sementara itu, jumlah dagangan pasaran ACE turun kepada 556.779 juta unit bernilai RM74.709 juta berbanding 732.953 juta unit bernilai RM86.754 juta.

Waran meningkat kepada 131.803 juta saham bernilai RM14.288 juta berbanding 113.273 juta saham bernilai RM9.808 juta. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.