Bahasa

Hari Valentine: Khutbah Jumaat Jakim dan WP ingatkan umat Islam tinggalkan budaya Kristian

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
February 10, 2012

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Teks khutbah Jumaat terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam.

Teks khutbah Jakim bertajuk “Awas Jerat Valentine” berkata selain bercanggah dengan akidah umat Islam, ia juga boleh membawa kepada budaya pemujaan berhala melalui istilah-istilah yang digunakan.

“Sedar atau tidak jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine?’ maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah.

“Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi ‘Sang Maha Kuasa’ dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala,” kata teks khutbah itu.

Kata khutbah itu, sambutan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan amalan meraikannya adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

“Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam,” katanya.

Sementara itu teks khutbah Jumaat terbitan Jawi bertajuk “Butakah Cinta?” berkata ramai di kalangan umat Islam yang tidak memahami pengertian sambutan Hari Valentine.

“Persoalannya.. Pernahkah kita bertanya, dari manakah datangnya budaya ini? Wajarkah ianya diterima sebagai suatu sambutan tahunan yang patut dirai? Apakah ada natijah baik untuk kita umat Islam yang boleh dibanggakan dari sambutan ini? Mungkin ada di kalangan kita yang menyatakan mereka tidak tahu dan tiada maklumat tentang perkara ini,” katanya.

Jelas khutbah itu, tanggal 14 Februari dinamakan Hari Valentine bersempena kejayaan kerajaan Kristian menumbangkan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol.

“Pada pandangannya Islam adalah agama yang zalim.  Semenjak itu, tarikh 14 Februari disambut setiap tahun oleh umat Kristian bagi meraikan kemenangan itu dengan menamakannya Hari Valentine.

“Justeru, wajarkah sebagai umat Islam yang yakin bahawa agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam, meraikan hari kejatuhan Umat Islam ditangan Kristian? Patutkah kita memuja dan meraikan pengisytiharan angkuh seorang paderi Kristian? Apakah sudah tiada tokoh lain di dalam Islam yang boleh kita puja dan teladani?,” katanya.

Kedua-dua teks khutbah itu meminta umat Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Valentine selain tidak terpengaruh dengan budaya barat.

Pemuda PAS sebelum ini diketahui umum menentang keras sambutan Hari Valentine di kalangan umat Islam kerana ia dikatakan menjadi pencetus kepada aktiviti tidak bermoral.

Sayap pemuda itu turut menggesa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar membuat kawalan terhadap sebarang promosi berhubung sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini.

Tahun lalu Pemuda PAS melancarken kempen Ekspedisi Dakwah dengan memberi tumpuan remaja Islam pada malam sebelum sambutan Hari Valentine.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi