Bahasa

Hasan Ali pertimbang serah video murtad kepada agensi agama, istana sebagai bukti

Oleh Mohd Farhan Darwis
April 02, 2012

PETALING JAYA, 2 April — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Dr Hasan Mohamed Ali tidak menolak untuk menyerahkan video bukti gejala murtad ang dimilikinya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekiranya pihak berkuasa agama berkenaan memerlukan bukti berlakunya gejala murtad di negara ini.

“Saya akan berunding dengan agensi agama seperti Jais, Mais (Majlis Agama Islam Selangor), dan istana sekiranya mereka ingin menjadikan video tersebut sebagai bukti berlakunya gejala murtad di negara ini,” katanya ketika sidang media pendedahan video murtad di kediamannya di sini.

Menurut Hasan (gambar), pihaknya mempunyai tiga versi video berkenaan dan hari ini beliau hanya mendedahkan dua daripada tiga video tersebut dengan durasi 16 dan 42 minit yang menayangkan pengakuan sepasang suami isteri yang telah kembali kepada Islam selepas murtad kepada pemberita.

Hasan turut menyelar kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang memperlekehkan usahanya membuat pendedahan berhubung isu murtad.

“Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan mana-mana agama dalam apa-apa keadaan orang bukan Islam dilarang pergi kepada orang Islam untuk memurtadkan mereka.

“Tetapi, bila kita nak laksanakan DAP dan PKR, termasuk PAS, tidak beri kebenaran untuk dilaksanakan,” tegasnya.

“Semua orang bantai saya, tapi saya berpegang kepada saya bekerja untuk mendapatkan kebahagiaan daripada Allah,” katanya lagi.

Menurut Hasan, dalam hal itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu memainkan peranan bagi memastikan gejala murtad ini dapat dibanteras.
“Menteri besar perlu memberikan jawapan yang fokus kepada permasalahan, bukan sekadar memberikan jawapan secara umum.

“Selain itu, beliau perlu bekerjasama dengan agensi lain seperti NGO-NGO yang memperjuangkan Islam seperti Iskatan Muslim Malaysia (ISMA) membanteras gejala murtad ini,” katanya lagi.

Jelas Hasan, Khalid selaku pemegang portfolio agama dan menteri besar kepada Selangor yang mempunyai ekonomi yang kukuh boleh menyelesaikan perkara berkenaan murtad ini.

“Pergerakan Kristianisasi ini bergerak memurtadkan umat Islam melalui bantuan kewangan, dan di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah pihak yang bertanggungjawab membantu dan memainkan peranan dalam perkara murtad ini.

“Menteri besar perlu menggunakan saluran yang dimilikinya untuk mencegah kemungkaran ini,” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi