Bahasa

Himpunan Hijau berkeras tunggu di Dataran hingga esok pagi

Oleh Md Izwan dan Ida Lim
November 25, 2012
Latest Update: November 26, 2012 06:42 am

Penyokong Himpunan Hijau berkumpul di Dataran Merdeka. — Gambar Saw Siow FengPenyokong Himpunan Hijau berkumpul di Dataran Merdeka. — Gambar Saw Siow FengKUALA LUMPUR, 25 Nov ― Aktivis Himpunan Hijau berkeras tetap akan berada di Dataran Merdeka sehingga jam 9 pagi esok walaupun pihak polis telah memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas peserta perarakan hari ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Teck berkata tindakan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak membenarkan peserta masuk ke Dataran Merdeka adalah tidak adil dan melanggar hak rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bebas berhimpun dimana sahaja.

“Saya akan tetap berada disini sehingga jam 9 pagi esok dan sedia berhadapan dengan sebarang tindakan.

“Tindakan polis dan DBKL yang tidak membenarkan kami masuk ke Dataran Merdeka ini sesuatu yang tidak adil dan melanggar Perlembagaan,” kata Wong.

Dalam pada itu, pihak polis semasa perbincangan dengan Wong memberitahu langkah tersebut akan menyebabkan beliau boleh disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Pihak polis boleh menyiasat pihak penganjur dibawah Akta Perhimpunan, Seksyen 9(1) PAA kerana gagal memberikan sebarang notis ke atas perhimpunan hari ini,” kata ketua polis daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad semasa berbincang dengan Wong.

“Anda boleh mengasihi negara anda tanpa penyayang kerajaan”,  kata poster ini.“Anda boleh mengasihi negara anda tanpa penyayang kerajaan”, kata poster ini.Selain pihak polis, DBKL juga memberikan amaran sama memandangkan pihak penganjur tidak memberikan notis awal kepada mereka dan memberikan alasan bahawa Dataran Merdeka sedang dalam proses baik pulih.

Namun, beberapa minit kemudiaan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dr James Nayagam memberitahu kepada Wong bahawa DBKL mengatakan beliau boleh meneruskan hasratnya untuk mendiami Dataran Merdeka sehingga pagi esok tapi dengan syarat.

“Saya ada mesej kepada kamu Wong, DBKL benarkan kamu tinggal disini tapi dengan syarat tidak memasang khemah,” kata Nagayam.

Dalam perhimpunan hari ini, kira-kira empat hingga lima ribu peserta Himpunan Hijau berarak dari Gombak ke Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan ke atas Loji Nadir Bumi di Lynas, Pahang.

Wong semasa berucap di hadapan ribuan orang peserta itu juga berjanji usahanya tidak berhenti dengan kejayaan sampai ke Dataran Merdeka malahan memberi amaran akan membuat sekatan ke kilang Lynas yang sudah memulakan operasinya itu.

“Jika perdana menteri ataupun menteri yang mengambil serius dengan perhimpunan hari ini, saya berjanji di hadapan kamu semua ia tidak akan terhenti disini saja.
“Saya akan buat sekatan masuk ke kilang toksik tersebut,” tambah Wong.

Himpunan Hijau telah berjalan hampir sejauh 300 km selama 13 hari yang bermula di Kuantan, semalam kumpulan aktivis tersebut bermalam di markas tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak dan telah bergerak melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar pagi tadi.

Pada jam 3.30 petang, kumpulan daripada Sentul bertemu dengan satu lagi kumpulan yang menunggu di Maju Junction dan kemudiaannya bergerak bersama menerusi Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.

Beberapa organisasi bukan kerajaan seperti Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), wakil daripada Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan banyak lagi turut hadir pada perhimpunan hari ini.

Turut kelihatan juga beberapa pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR), antaraya ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Chua Tian Chang, William Leong, Fuziah Salleh, Elizabeth Wong dan Chang Lih Kang.

Sepanjang perjalanan ke Dataran Merdeka, peserta melaungkan slogan “Henti Lynas”, “Hidup rakyat” dan “Tak nak toksik” serta mengibarkan bendera Malaysia dan bendera hijau sebagai simbolik perjuangan kumpulan tersebut.

Mereka tiba pada jam 6 petang di Dataran Merdeka tetapi tidak dapat masuk ke dalam kawasan utama ekoran dihalang oleh penghadang.

Peserta mula bersurai kira-kira pada 7 malam dan kelihatan beberapa orang aktivis masih setia bersama Wong untuk bermalam di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, pihak polis dan DBKL telah memasang penghadang dan tembok di sekitar Dataran Merdeka sejak pagi tadi dan meletak notis tidak membenarkan sebarang aktiviti berjalan disitu.

Namun, peserta Himpunan Hijau tetap dengan pendirian mereka untuk mara ke lokasi yang sudah ditetapkan tersebut.

“Ya, ya kami tahu mereka sekat Dataran Merdeka.

“Rancangan menuju ke sana masih akan diteruskan seperti biasa dan tidak akan dibatalkan,” kata ketua publisiti himpunan tersebut, Lee Chean Chung, yang mengesahkan kepada The Malaysian Insider pagi tadi.

Perarakan Himpunan Hijau ini sudah berjalan sejak 13 November lalu dan ia adalah sebagai tanda protes kumpulan tersebut untuk mewujudkan kesedaran politik dan alam sekitar.

Selain itu, kumpulan ini juga mendapat sokongan empat NGO lain seperti Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, (Ban Cyanide Committee), gabungan NGO Pengerang, dan NGO, anti-empangan Murum.Penyokong Himpunan Hijau di Dataran Merdeka menunjuk perpaduan.Penyokong Himpunan Hijau di Dataran Merdeka menunjuk perpaduan.


The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi