Bahasa

Himpunan Hijau bertahan di Dataran Merdeka sehingga pagi

Penyokong Himpunan Hijau di Dataran Merdeka menunjuk perpaduan. — Gambar oleh Saw Siow FengPenyokong Himpunan Hijau di Dataran Merdeka menunjuk perpaduan. — Gambar oleh Saw Siow FengKUALA LUMPUR, 26 Nov — Aktivis Himpunan Hijau bertahan di Dataran Merdeka sehingga pagi ini tanpa sebarang masalah atau kejadian yang tidak diingini kata pengerusinya, Wong Teck.

“Semalam di Dataran Merdeka kami umpama berdialog dengan alam.

“Pagi ini, fajar baru menyingsing memberikan harapan baru kepada perjuangan kami,” kata Wong ketika ditemui oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Menurut Wong, beliau dan rakan-rakannya akan berhimpun sehingga selesai “persidangan rakyat” yang akan berlangsung pada pukul 9.00 pagi nanti.

“Semasa persidangan rakyat nanti, kita akan lihat ahli parlimen mana yang akan datang untuk menyokong resolusi rakyat,” tambah beliau lagi.

Seorang lagi peserta yang bersama-sama bermalam di Dataran Merdeka, Dr Wong Chin Huat memberitahu hampir 200 orang majoritinya terdiri dari kaum Cina bertahan sepanjang malam.

“Ada insiden kecil hampir berlaku diantara perserta perhimpunan dan penguatkuasa, akan tetapi oleh kerana banyak kamera disekeliling, kekacauan tidak berlaku,” kata Wong yang juga aktif dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditemui mengakui perhimpunan Himpunan Hijau sepanjang malam berlangsung dengan aman.

“Tiada sebarang masalah sepanjang malam, mereka (Himpunan Hijau) hanya berhimpun tanpa melakukan sebarang provokasi,” kata seorang penguatkuasa DBKL yang tidak mahu dikenali.

Dua minggu lalu, Himpunan Hijau memulakan perjalanan sejauh 300 kilometer dari Kuantan ke Kuala Lumpur bagi menyatakan penentangan mereka terhadap operasi Loji Nadir Bumi di Lynas, Pahang.

Perjalanan selama 13 hari itu tamat semalam selepas kumpulan tersebut tiba di destinasi tujuan di Dataran Merdeka.

Himpunan Hijau turut mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, Gabungan NGO Pengerang, dan NGO anti empangan Murum.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.