Bahasa

Hubungan rapat Malaysia-Sweden buka banyak ruang kerjasama

September 16, 2012

STOCKHOLM, 16 Sept —  Hubungan rapat Malaysia-Sweden membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam pelbagai sektor terutama pelancongan, pelaburan, perdagangan dan industri pertahanan, kata Duta Besar Malaysia ke Sweden Datuk Badruddin Ab Rahman.

Beliau berkata rakyat Malaysia boleh memanfaatkan peluang yang terbuka luas dengan mengembangkan sayap kegiatan mereka di negara yang mempunyai lebih sembilan juta penduduk itu.

Bercakap di ibu negara Sweden itu di sini hari ini, beliau berkata, antara Januari dan Julai lepas, nilai dagangan Malaysia-Sweden meningkat kepada RM2 bilion berbanding RM1.9 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Badruddin berkata nilai dagangan itu diyakini akan terus berkembang jika wujud kemudahan perhubungan termasuk penerbangan terus Kuala Lumpur-Stockholm.

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang hendak ke Sweden terpaksa melalui Bangkok sebelum ke Stockholm begitu juga sebaliknya.

Beliau berharap syarikat penerbangan Malaysia Airlines mewujudkan semula perkhidmatan itu yang ditamatkan beberapa tahun lalu.

Selain itu, katanya pembukaan semula pejabat Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur setelah ditutup selama lebih setahun berikutan  masalah dalaman negara itu turut memberi kesan positif kepada kerjasama dalam pelbagai sektor tersebut.

Pejabat yang terletak di Suite 16-08, Level 16, GTower,  Kuala Lumpur, itu dijadual dibuka kepada umum mulai 18 Sept ini, katanya.

Badruddin berkata, pembukaan pejabat baharu itu diyakini bakal menjadi harapan baharu kepada rakyat kedua negara untuk  memanfaat hubungan itu dan menurutnya pada masa ini  banyak syarikat Sweden yang memilih Malaysia sebagai lokasi pelaburan.

Menurutnya, sehingga kini, nilai pelaburan kira-kira 120 syarikat Sweden di Malaysia adalah lebih RM10 bilion termasuk  syarikat-syarikat kenderaan seperti Volvo.

Bagaimanapun, katanya belum ada rakyat Malaysia yang melabur di negara seluas hampir 450,000 kilometer persegi itu.

Badruddin berkata, pihaknya juga sentiasa mengadakan program berterusan bagi menggalakkan para peniaga Sweden menjadikan Malaysia sebagai lokasi pilihan.

“Baru-baru ini, sebanyak 200 ahli perniagaan Sweden dijemput menghadiri taklimat berkaitan peluang-peluang pelaburan di Malaysia dan mereka menunjukkan minat dengan iklim pelaburan negara yang baik pada masa ini,” katanya.

Mengenai sektor pelancongan, beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 44,138 rakyat Sweden melawat Malaysia dan angka itu pasti boleh meningkat jika terdapat penerbangan terus Stockholm-Kuala Lumpur. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi