Bahasa

Hudud belum sesuai diperkenal di negara ini, kata IRF

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Dalam konteks sosiopolitik atau al-Waqi, yang sentiasa diberikan perhatian oleh ulama sebagai salah satu prasyarat kepada pelaksanaan hudud, undang-undang itu masih belum sesuai diperkenalkan di negara ini sekarang, kata Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.

Justeru menurut beliau, penyertaan para intelektual terutama yang mahir dalam sains sosial diperlukan dalam perdebatan tentang isu pelaksanaan hudud.

“Oleh itu, dalam konteks hari ini, apakah berkemungkinan untuk melaksanakan hudud? Apakah keadaan yang diperlukan daripada segi sistem politik dan pelaksanaan kebebasan bersuara, kesamarataan di sisi undang-undang, pendidikan awam, penghapusan kemiskinan dan keadilan sosial?

“Yang manakah dalam bahagian ini menjadi perbezaan pandangan dan atas asas apa perbezaan ini terjadi?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Isu hudud muncul semula minggu lalu dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kini adalah masa yang kondusif dan mahu kerajaan pusat tidak terus mengenakan sekatan.

Kerajaan negeri sudah pun menggubal undang-undang berkaitan pada 1993.

Farouk juga berkata soalan-soalan itu bertujuan menjernihkan lagi isu yang diperdebatkan dengan memberi perhatian kepada keluasan penafsiran terhadap nas-nas dan mengambil kira faktor penentu keadaan kontemporari dan evolusi sosial.

“Proses muhasabah ini perlu bermula dengan memahami seiringan teks dan konteks serta berpegang teguh kepada objekti dan mesej Islam,” kata beliau lagi.

Malah menurut beliau, ia memerlukan sepenuh kesungguhan, masa dan penyediaan ruang untuk berdialog dan berdebat.

“Ia tidak sepatutnya sekadar di peringkat nasional tetapi juga internasional, di antara para ulama, golongan intelektual, dan di kalangan komuniti Islam itu sendiri.

“Sesungguhnya perkara ini bukan hanya berdasarkan kepada perhubungan dengan teks yang memerlukan kepakaran ulama an-nusus, tetapi juga perhubungan dengan konteks, yang selayaknya mewajibkan keterlibatan golongan ‘ulama’ al-waqi’,” katanya.

Dengan merujuk kepada pandangan sarjana  Prof Tariq Ramadan, Farouk menegaskan, beberapa persoalan asas perlu ditujukan kepada badan-badan penguat kuasa Islam di serata dunia berkaitan hudud.

“Tidak kira mana-mana tradisi baik Sunah mahupun Syiah. Tidak kira mana-mana mazhab. Juga tidak kira kecenderungan aliran baik literalis, salafi, reformis dan sebagainya,” katanya sambil menambah, perkara itu amat perlu diberi perhatian sebelum boleh terus menganggap perbahasan tentang hudud ini sudah pun selesai.

“Apakah nas-nas, termasuklah tahap kesahihannya yang menjadi rujukan untuk hudud? Di manakah garis pembeza untuk penafsiran-penafsiran yang ada dan di titik manakah perbezaan itu berlaku dalam sejarah  perundangan Islam dan era kontemporari?

“Apakah syarat-syarat yang ditetapkan untuk setiap hukuman menurut sumber itu sendiri, kesepakatan para ulama atau secara persendirian oleh ulama tertentu melalui sejarah perundangan Islam dan fekah?” katanya.

Oleh itu kata beliau, “di titik manakah perbezaan pandangan terhadap syarat-syarat itu?”

“Apakah ‘keadaan yang meringankan’ yang kadangkala dihuraikan oleh autoriti agama sepanjang sejarah berlalu serta di dalam mazhab-mazhab yang berbeza?” kata Farouk lagi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.