Bahasa

Hudud: PAS panggil Hu Pang Chaw beri penjelasan

October 13, 2011

KUALA LUMPUR, 13 Okt – PAS pusat akan memanggil ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan beliau berkaitan isu hukum hudud yang kembali menjadi bahan kontroversi.

Hu menjadi perhatian ekoran pendirian beliau dalam isu hukum hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan.

Beliau mahu bukan Muslim dalam parti itu diambil kira pandangan mereka.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun ruang demokrasi dalam parti itu besar, namun apabila ia melibatkan isu dalaman, anggota parti disarankan supaya menyelesaikan secara bermesyuarat di dalam parti.

“Tidak dinafikan, PAS sebagai parti yang besar juga tidak dapat lari daripada dilanda pelbagai isu dalaman. Atas dasar itu, PAS sudah pun mempunyai pelbagai saluran parti untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan tentang sesuatu isu dalaman.

“Jangan jadikan isu dalaman isu luaran yang seringkali diambil kesempatan oleh musuh untuk menyerang parti,” kata beliau.

“Jangan sesekali beri media perdana, terutamanya yang dikuasai musuh, peluang untuk ‘mengadakan yang tiada dan memperbesarkan yang kecil’ lebih-lebih lagi dalam keadaan PRU-13 (pilihan raya umum ke-13) semakin mendekat,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hu dilapor berkata media di negara ini berhak mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku dalam PAS terutama dalam soal hukum hudud.

Hu berkata beliau sama sekali tidak akan menyekat usaha media untuk bertemunya dalam menyuarakan pendapat masyarakat bukan Islam terhadap isu itu.

“Dalam situasi parti sedang membuat persiapan akhir bagi memperkemaskan jentera pilihan raya umum, sewajarnya semua ahli PAS dan Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu mengeratkan kerjasama dan muafakat untuk menghadapi musuh,” kata beliau.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi