Bahasa

Husam terkejut dengan sambutan hangat di Putrajaya

Husam  dinamakan sebagai calon Selasa lalu. – Gambar oleh Zurairi ARHusam dinamakan sebagai calon Selasa lalu. – Gambar oleh Zurairi AR

PUTRAJAYA, 12 April — Datuk Husam Musa mengakui hari ini terkejut dengan sambutan hangat penduduk Putrajaya selepas beliau diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) selepas beliau turun ke bawah untuk lawatan pertamanya.

Naib presiden PAS itu dinamakan sebagai calon Selasa lalu mengadakan acara malam tadi dan melawat penduduk Putrajaya hari ini untuk memperkenalkan dirinya dan mendengar rintihan mereka.

“Saya sangat gembira, kerana dari body language orang-orang di sini ... Saya terkejut, dulu saya ingatkan kakitangan kerajaan ni tak berani. Tapi rupanya mereka lebih berani dari saya,” kata Husam kepada pemberita di sini.

Husam mengatakan beliau telah mengelakkan diri dari duduk dan berbual-bual dengan penjawat awam karana bimbang akan membahayakan kerjaya mereka, akan tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka yang menemuinya.

“Ramai yang nak bergambar. Walaupun mereka dalam uniform kerajaan. Ada seorang dua pegawai minum bersama saya.

“Saya kira ini adalah perubahan positif,” tambah beliau.

Husam bakal berhadapan dengan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan penyandang kerusi tersebut.

Selasa lalu Tengku Adnan yang mesra dengan panggilan Ku Nan mengatakan tidak gentar dengan pengumuman PAS untuk meletakkan Naib Presiden mereka, di kerusi Parlimen Putrajaya kerana beliau tidak akan mendapat sokongan di sana.

“Apa yang boleh saya katakan adalah saya akan mempertahankan Putrajaya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha Agung Umno itu mengakui beliau tidak melihat Husam sebagai ancaman, kerana tiada sokongan untuk parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sana.

“Penjawat awam dan masyarakat Melayu sedar apa Husam dan PAS sudah buat di Kelantan. Putrajaya tidak akan menerima orang luar sebagai wakil rakyat mereka,” tegasnya lagi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.