Bahasa

Husni: Peruntukan hampir semua kementerian akan naik dalam Belanjawan 2013

IPOH, 8 Sept — Secara keseluruhannya, peruntukan kepada hampir semua kementerian akan dinaikkan menerusi Bajet 2013 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen, 28 September ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata Kabinet telah meluluskan draf Bajet 2013 yang telah dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuaratnya Rabu lepas dan pihaknya telah meneliti satu persatu perbelanjaan kesemua kementerian.

“Kita telah meminta bantuan Bank Dunia dan di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kita telah meneliti perbelanjaan (kementerian) satu persatu. Jadi, asasnya, kesemua kementerian akan mendapat peruntukan dan hanya satu atau dua akan berkurangan berikutan inisiatif rasionalisasi,” kata Ahmad Husni (gambar) kepada pemberita ketika menghadiri jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pasar raya borong Mydin di Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan sejak tahun lepas, antaranya mengenai cukai, cukai pendapatan dan cukai korporat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara itu, katanya.

“Tetapi, kita tidak berhasrat untuk meningkatkan kadar cukai,” katanya.

Beliau berkata peningkatan peruntukan kepada kementerian akan dibantu oleh peningkatan jumlah hasil kerajaan.

“Seperti yang saya kata, di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kami telah melakukan kajian indeks perolehan, khususnya mengenai cukai pendapatan di mana kita mengkaji kelemahan dan kita percaya, ia akan terus menyumbang kepada pendapatan tinggi bagi negara ini,” katanya.

Beliau berkata tiga parameter asas kepada bajet itu pertamanya kerajaan perlu memastikan adanya lebihan kos operasi yang bermakna hasil perlu melebihi perbelanjaan, keduanya pertimbangan terhadap dasar fiskal iaitu pengurangan defisit dan ketiga nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) perlu dikekalkan di bawah 55 peratus.

Ahmad Husni, yang juga anggota Parlimen Tambun, berkata kerajaan terus menyasarkan pengurangan defisit dalam Bajet 2013 berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Mengenai nisbah hutang berbanding KDNK, 55 peratus adalah merupakan paras berhemah tetapi kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayar balik hutang berkenaan, katanya.

Defisit fiskal negara bagi 2011 menurun kepada 5.0 peratus daripada KDNK, berbanding jangkaan 5.4 peratus semasa pembentangan bajet itu.

Defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.