Bahasa

Ibrahim Ali akan pertahankan kerusi Pasir Mas

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengesahkan akan mempertahankan kerusinnya di parlimen berkenaan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Dipetik Sinar Harian Online, Ibrahim (gambar) yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu berkata, masih lagi terdapatnya sokongan daripada masyarakat di sana supaya beliau mempertahankan kerusinya itu.

“Ada permintaan supaya saya mempertahankan kerusi Pasir Mas. Insya-Allah kalau panjang umur saya akan bertanding di situ pada PRU13 ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Keempat pertubuhan Jaringan Gerak Usaha Pasir Mas (Jaguh) di sini, malam tadi.

Beliau yang juga merupakan penaung Jaguh menambah, beliau bersyukur sepanjang berkhidmat di kawasan itu tiada perkara buruk berlaku.

“Saya bukan nak puji diri, tetapi Alhamdulillah rekod saya bersih, tiada isu moral dikaitkan dengan saya kerana saya sentiasa menjaga nama baik sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas,” katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Ibrahim menjelasan, dianggarkan terdapat hampir 400,000 rakyat Kelantan berhijrah keluar dari negeri tersebut mencari rezeki.

“Ini berlaku kerana di Kelantan kurangnya peluang pekerjaan walaupun negeri kita kaya dengan hasil mahsul dan ini berlaku akibat dari pertumbuhan ekonomi yang menyedihkan.

“Jadi saya minta ayuh kita lakukan transformasi politik pada PRU13 akan datang,” katanya di hadapan hampir 1,200 anak kelahiran Pasir Mas yang bekerja di Lembah Kelang.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim turut bersetuju dengan langkah kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak daripada Petronas, dan menegaskan “saya menyokong tuntutan itu, tetapi isu ini sudah menjadi kes mahkamah dan saya enggan mengulas lanjut.”

Hadir sama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin yang juga Naib Presiden Perkasa dan Presiden Jaguh, Zulkarnain Mat Junoh.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.