Ibu ahli parlimen Balik Pulau dirompak pagi ini
TERKINI @ 04:49:44 PM 11-07-2012
KUALA LUMPUR, 11 Julai — Ibu kepada ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff (gambar), dirompak sebelum subuh di rumahnya di George Town hari ini, lapor The Star dalam laman web mereka.
Menurut akhbar tersebut, Fatimah Ahmad dikejutkan oleh lelaki bersenjata meminta wang dan barang beharga daripadanya.
Ibu berumur 73 tahun yang tinggal seorang di rumah pada waktu itu dilaporkan dipukul di muka semasa kejadian dan kehilangan wang sebanyak RM3,000.
Fatimah kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 6.30 pagi.
Rompakan hari ini menambahkan kes-kes berprofil tinggi baru-baru ini yang menimbulkan ketakutan orang ramai seperti pecah masuk rumah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di Kuala Lumpur, rompakan mesin ATM di Carrefour, Wangsa Maju — RM1.2 juta wang tunai dilarikan; kejadian culik melibatkan warga Singapura di Johor.
Sebelum ini, penculikan budak berumur 12 tahun berasal dari Belanda di Mount Kiara, kejadian rompakan dan serangan melibatkan seorang guru wanita — terpaksa diletakkan dalam keadaan koma kerana luka beliau yang terlalu teruk.
Semalam tiga lelaki mencuba untuk memecah masuk rumah Ong Kian Ming, penganalisis politik pada waktu siang. Mereka meninggalkan rumah tersebut selepas mengugut penganalisis politik tersebut yang secara kebetulan berada di rumah ketika kejadian.
Pihak berkuasa cuba melegakan kerisauan rakyat tentang jenayah dengan mengatakan statistik kadar jenayah menurun berbanding sebelumnya.
Pemandu baru-baru ini turut menyalahkan media yang didakwanya sering mensensasikan jenayah.
“Mereka (media) harus bekerjasama dengan polis dan sering berhubung mengenai kes-kes yang telah berjaya diselesaikan,” kata ketua Pemandu Datuk Seri Idris Jala dalam sebuah wawancara.
“Kadangkala kita harus tumpu kepada perkara positif untuk mewujudkan keadaan yang baik.”
Menteri dalam negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussien baru-baru ini mengatakan kes jenayah berprofil tinggi hanyalah kes-kes terpencil.
Pemimpin pembangkang telah mengkritik kerajaan kerana tidak memandang serius peningkatan kes jenayah sambil mendesak polis agar memerangi jenayah berbanding “mengintai” aktiviti politik rakyat.
KUALA LUMPUR, 11 Julai — Ibu kepada ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff (gambar), dirompak sebelum subuh di rumahnya di George Town hari ini, lapor The Star dalam laman web mereka.


