SUNGAI BESAR, 7 Nov ― Ibu kepada pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli, Aisah Kandar, 35, meninggal dunia di Hospital Putrajaya Isnin selepas setahun bertarung dengan barah payu dara.
Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Haji Dorani di sini selepas Zohor.
Rosli Abdul Rahim, 40, bapa kepada pasangan kembar berusia 13 tahun itu, berkata, beliau akan menunaikan amanah untuk menjaga lima anaknya termasuk Ahmad dan Muhammad sebaik mungkin seperti dilakukan arwah sebelum ini.
“Saya akan ambil semangat isteri yang tidak pernah tunjuk sakit depan anak-anak walaupun beliau menderita kesakitan, termasuk terlantar tidak boleh bergerak sejak dua bulan lepas,” katanya dipetik Bernama Online.
Ahmad dan Muhammad mendapat perhatian media kerana dilahirkan bercantum pada bahagian dada dan punggung pada 1998, sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi pada September 2002.






