Bahasa

Ibu pejabat SUPP dilanda ‘krisis’ terbakar awal pagi

KUCHING, 13 Dis — Ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, komponen Barisan Nasional (BN) yang berlanda krisis pemilihan dan menerima presiden baru kelmarin, terbakar awal pagi ini, demikian menurut laporan media.

Kejadian itu menyebabkan bilik mesyuarat parti itu mengalami kerosakan teruk.

Laporan Star Online menyebut saksi telah menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat sekitar 3.15 pagi tadi.

Bekas setiausaha agung parti itu dipetik laporan media berkata, beliau percaya kebakaran itu bukan terjadi secara kebetulan, tetapi beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.

“Kami mengecam tindakan sedemikian,” kata beliau.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, 66, diumum sebagai presiden baru SUPP apabila menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Datuk Seri Wong Soon Koh memboikot proses pemilihan jawatankuasa pusat ke-24 kelmarin.

Susulan keputusan pemilihan, Chin berkata beliau sendiri akan cuba mendekati semula kumpulan Wong yang disertai Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) serta Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) bagi memastikan mereka setia dan kekal dalam SUPP.

Semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali SUPP Ke-22 Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Razak mahu calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti itu supaya mengamalkan sikap suka berdamai, berhati mulia dan inklusif dalam tindakan mereka sebaik ia berakhir.

Semasa memberikan nasihat itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata mereka mesti merapatkan semula barisan bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat kerana pertukaran pucuk pimpinan tidak dapat dielakkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana parti.

“Mereka yang menang bukan menang kesemuanya dan mereka yang kalah bukan hilang semuanya kerana musuh mereka adalah pembangkang dan bukan anggota dan rakan dalam SUPP,” katanya.

Wong tidak hadir pada persidangan selepas beliau dan penyokongnya meneruskan tindakan memboikot persidangan atas alasan “penyelewengan dan manipulasi” pada pemilihan cawangan.

Chin menggantikan Tan Sri Dr George Chan.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.