Bahasa

Ideologi, kaum masih menjadi halangan kepada BN sebagai satu parti

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Terdapat konsensus yang semakin meningkat bagi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bersatu dalam sebuah parti berbilang kaum tunggal bagi menyelamatkan dari terus ditolak oleh pengundi, tetapi Umno dan ahli politik Melayu sayap kanan kekal menjadi penghalang utama.

Salah satu lagi cabaran adalah apakah ideologi parti tunggal BN boleh tawarkan yang dilihat mahu meninggalkan politik berasaskan kaum, kata penganalisis politik kepada The Malaysian Insider.

Rabu lalu, Perkasa memberi amaran kepada ahli politik menentang idea untuk memansuhkan Umno ke dalam parti tunggal BN.

Amaran ini datang walaupun selepas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengatakan parti tunggal BN tetap akan diketuai oleh Melayu.

Pemerhati mengatakan parti baru BN mungkin boleh berjaya jika mengadaptasi ideologi perpaduan dan Malaysia yang inklusif.

Prof Dr Jayum A Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengatakan sudah sampai masanya BN meninggalkan politik berasaskan kaum.

“Kita telah melalui turun naik politik perkauman dan sudah sampai masa kita melakukan eksperimen dengan model baru untuk bergerak ke hadapan. Apa masa yang lebih baik daripada apabila masyarakat terbahagi kepada ideologi politik, parti-parti politik?” soal beliau.

Beliau mengatakan BN mungkin boleh mengambil visi inklusif, berakar dari idea di mana ahli-ahli politik mewakili keperluan semua rakyat Malaysia secara berkesan.

“Rakyat Malaysia mahukan Malaysia yang inklusif. Idea inklusif yang telahpun diamalkan, saya fikir itu boleh diterima oleh semua orang,” katanya.

Prof Shaharudin Badaruddin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut mengatakan sudah sampai masanya BN untuk bergerak ke hadapan, mengatakan gabungan itu sudah tidak mempunyai pilihan selain meleburkan gabungan dipimpin Umno selama 55 tahun dan bertukar menjadi “parti pelbagai kaum besar” yang inklusif.

“Ini salah satu perkara mereka harus lihat selepas PRU13 kerana sekarang sudah wujud politik bukan lagi berasaskan kaum,” katanya dan menambah corak pengundian ini berlaku di banyak bandar walaupun terdapat sesetengah pengundi mengundi mengikut garis kaum.

Beliau berkata BN sudah biasa mengambil pendekatan “pragmatik” dan boleh memilih pelbagai ideologi berdasarkan kepada kajian tentang negara jenis apa yang mereka mahu jadikan.

“Sudah tentu bukan berdasarkan kaum,” katanya merujuk kepada ideologi baru BN.

Saharuddin turut mencadangkan agar musuh BN Pakatan Rakyat (PR) yang kini merupakan gabungan longgar tiga parti — PKR, DAP dan PAS — dibenarkan menubuhkan satu parti.

“Jika mahukan parti berbilang kaum yang besar, anda perlu biarkan PR juga menjadi sebuah parti besar. Kemungkinan melakukan itu akan membenarkan sistem dua parti mengubah senario kita… Jadi ia bermaksud, mansuhkan politik masa lalu. Bergerak menuju politik baru,” katanya.

Beliau mengatakan BN akan berhadapan dengan cabaran mengubah budaya kerja, menerangkan parti komponen sebelum ini bekerja terlebih dahulu dalam parti masing-masing sebelum bersama dalam Kabinet atau pilihan raya.

“Cabarannya adalah BN akan berhadapan dengan budaya bekerja dalam satu parti besar,” katanya, menerangkan gabungan itu mungkin akan mengambil masa selama tiga tahun sebelum bergabung sebagai satu parti tunggal.

Dr Andrew Aeria dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga menyokong idea BN sebagai satu parti tunggal mengatakan sudah sampai masanya parti komponen melihat perkara ini dengan lebih serius.

 “Lagipun Dr Mahathir bercakap soal Bangsa Malaysia. Tun Badawi bercakap soal konsep ketamadunan demokrasi ‘Islam Hadhari’ yang tidak mengiktiraf ideologi etnik. PM Najib bercakap soal 1 Malaysia.

“Ketiga-tiga PM bercakap soal perpaduan, satu bangsa, satu Malaysia, satu identiti. Jika mereka boleh bercakap soal ini pada waktu-waktu biasa, mengapa tidak politik mereka mencerminkan apa yang mereka kata?” soal ahli akademik itu.

“Politik etnik, politik serantau sedang di jalan keluar,” kata Aeria, mengatakan rakyat menyukai dan menerima konsep “Bangsa Malaysia.”

“Sama ada mereka berhadapan dengan realiti atau mereka boleh melihat ke arah kematian mereka,” katanya apabila ditanya tentang kemungkinan parti berdasarkan etnik dalam BN mungkin tidak akan menerima konsep Bangsa Malaysia.

Prof Dr James Chin mengatakan cadangan penyatuan BN adalah pengiktirafan kepada sebahagian besar penduduk di kawasan bandar yang “percaya kepada politik tidak berasaskan kaum,” mengatakan BN boleh menggunakan ideologi “1Malaysia”.

“Kemungkinannya presiden Melayu dan presiden bukan Melayu,” kata Chin mengatakan tentang kemungkinan kepimpinan parti tunggal BN dan menerangkan rakyat Malaysia kebiasaannya mempunya kecenderungan untuk mengundi daripada jenis mereka walaupun percaya kepada politik berbilang kaum.

Seperti Jayum, Chin membangkitkan sudah terdapat banyak parti berbilang kaum di Malaysia menjadikan Gerakan dari BN dan PKR dari PR sebagai contoh, akan tetapi mengatakan sesetengah rakyat Malaysia masih melihat mereka sebagai parti berdasarkan etnik.

Jayum mengatakan pemimpin Melayu mungkin dipilih untuk mengetuai parti tunggal BN, dengan jawatan kedua tertinggi boleh datang dari kumpulan etnik lain negara ini.

Beliau mengatakan realiti Malaysia di mana komuniti Melayu adalah terbesar dalam peratusan populasi dan keahlian BN.

“Walaupun anda tidak akan mengatakannya dalam perlembagaan (parti), realiti politik akan menyebabkannya harus daripada Melayu,” katanya dan menambah bukan Melayu memimpin BN sebagai tidak praktikal untuk Malaysia buat masa ini, tetapi mungkin boleh berlaku dalam 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Kita tidak boleh harapkan komuniti yang mempunyai asas kecil dalam parti akan menjadi pemimpin kecuali orang itu mempunyai kualiti luar biasa,” kata Jayum.

Apabila ditanya apakah pemimpin bukan Melayu boleh mengetuai parti pada masa akan datang, Shaharuddin mengatakan ia mungkin boleh berlaku dalam 15 hingga 20 tahun akan datang, menjelaskan Amerika Syarikat mengambil masa lama sebelum mempunyai presiden dari keturunan Afrika.

“Mengapa tidak? Mungkin dengan menubuhkan parti berbilang kaum besar, kita boleh mendidik rakyat sebagai permulaan,” katanya.

Aeria mengatakan rakyat Malaysia sudah tidak lagi bercakap soal kaum, tetapi mengenai merit, kompetensi dan kredibiliti.

“Biarkan rakyat terbaik menjadi pemimpin berdasarkan merit. Ini seharusnya menjadi pertandingan terbuka dan calon terbaik menang kerana merit.”

“Jika mereka bercakap tentang Bangsa Malaysia, mengapa ia harus daripada Melayu?” soal beliau mengatakan: “Jika ia adalah Bangsa Malaysia, seharusnya rakyat Malaysia berdasarkan merit.

Disebalik bercakap tentang parti tunggal BN, Chin mengatakan topik ini akan tamat selepas enam bulan, kerana ianya hanyalah reaksi kepada keputusan pilihan raya umum ke 13.

“Ini hanyalah reaksi kepada PRU, tidak lebih dari itu,” katanya sambil menambah idea ini tidak disokong oleh majoriti pemimpin Umno.

Beliau mengatakan terdapat kemahuan politik untuk menubuhkan parti lain digelar Barisan Nasional yang terbuka kepada semua, sementara parti komponen BN kekal seperti sedia kala.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.