Bahasa

IGP: PDRM ada mekanisme tangani kes rasuah kalangan polis

December 10, 2010

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai mekanisme tersendiri dalam memantau dan menangani kes anggota dan pegawai mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan setiap jabatan dalam perkhidmatan PDRM ini bagi mengawasi mana-mana anggota yang terlibat dan seterusnya mengambil tindakan.

“Kita memang sentiasa berusaha dengan kadar berterusan untuk memantau mana-mana anggota dan pegawai yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

“Kita juga ada mekanisme sendiri di dalam setiap jabatan PDRM ini untuk banteras rasuah di kalangan mereka dengan mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan tinjauan yang dilakukan Transparency International Global Corruption (GCB) 2010 yang meletakkan bahawa polis dilihat sebagai paling korup dengan nisbah 4.1/5.0 diikuti parti politik (4.0/5.0) dan Ahli Parlimen (3.4/5.0).

Katanya PDRM memerlukan kerjasama semua pihak dalam menyalurkan maklumat kepada mereka berhubung mana-mana anggota atau pegawai mereka yang terlibat dalam rasuah.

Ismail berkata ini bagi memudahkan mereka menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan kes terbabit.

Menurutnya setiap anggota dan pegawai PDRM perlu mewujudkan integriti dalam pasukan supaya dapat bertanggungjawab membanteras jenayah termasuk jenayah rasuah supaya dapat dilakukan dengan lebih efektif dan berkesan lagi.

Bagaimanapun, Ismail tidak mendedahkan jumlah anggota yang terlibat dalam rasuah dan yang sudah dikenakan tindakan disiplin.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mustafar Ali berkata pihaknya memang menerima banyak maklumat daripada orang awam berkaitan salah laku pegawai penguat kuasa seperti anggota polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, mana-mana institusi atau jabatan dalam skala besar (jumlah anggota yang ramai) yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan dan penguatkuasaan mudah terdedah kepada rasuah dan isu ketidakpuashatian dari masyarakat.

“Berdasarkan statistik SPRM, oleh kerana jumlah anggota penguatkuasaan itu tinggi, maka mereka berisiko untuk terlibat.

“Bukan sahaja rasuah tetapi juga isu ketidakpuashatian masyarakat terhadap taraf perkhidmatan mereka. Contohnya tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang tidak mengangkat sampah, longkang tersumbat, rumput panjang. Maklumat itu juga diterima selain aduan rasuah,” katanya.

Transparency International Global Corruption (GCB) 2010 merupakan tinjauan pendapat umum melibatkan persepsi dan pandangan mengenai rasuah dan usaha kerajaan menangani isu rasuah.

Keputusan tinjauan yang dikeluarkan secara rasmi hari ini membabitkan 1,000 responden di kawasan pedalaman dan bandar dengan tinjauan secara bersemuka.

Di Malaysia, selain polis dilihat sebagai paling korup, kajian itu juga menunjukkan keyakinan masyarakat rendah atau tidak berpuas hati dengan tiadanya ‘ikan besar’ yang ditangkap dalam sesuatu kes rasuah berprofil tinggi.

Mengulas mengenai persepsi itu, Mustafar berkata jumlah ‘ikan besar’ yang merujuk kepada pegawai tertinggi atau orang berpengaruh dalam sesuatu jabatan atau kerajaan itu adalah sangat rendah berbanding ‘ikan kecil’.

Katanya faktor inilah yang menyukarkan mereka menangkap ‘ikan besar’ selain kes berprofil tinggi memerlukan masa untuk diselesaikan.

“Kes melibatkan pegawai tertinggi biasanya kes berprofil tinggi dan memakan masa dan rumit hingga membabitkan pemindahan wang ke luar negara dan membataskan kuasa kita sedia ada.”

“Kes membabitkan pegawai sokongan atau bawahan (ikan kecil) ini tidak sesukar kes pegawai tinggi dan kadangkala hanya membabitkan pemalsuan dokumen,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi