Bahasa

IHL, menjaga hak asasi manusia semasa konflik

August 07, 2012

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Menggalakkan Undang-undang Kemanusian Antarabangsa (IHL) adalah antara mandat utama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) yang berpangkalan di Geneva.

Dalam memudahkan pengajaran, penyebaran dan penjanaan kepakaran dalam IHL, Sesi Pengajaran Asia Tenggara (SEATS) mengenai IHL telah diwujudkan, kata penasihat undang-undang ICRC bagi Asia Timur dan Asia Tenggara, Richard Desgagne.

IHL, yang merupakan peraturan berhubung konflik bersenjata, adalah satu set peraturan yang mendesak, atas alasan kemanusiaan, mengurangkan ancaman terhadap pihak-pihak terbabit akibat konflik bersenjata.

Undang-undang itu, yang adalah bahagian utama termaktub dalam empat Konvensyen Geneva 1949, hanya berkuatkuasa bagi konflik bersenjata dan tidak meliputi ketegangan atau pergolakkan dalaman seperti tindakan keganasan terpencil.

IHL berkuatkuasa sebaik sahaja mana-mana konflik bersenjata bermula, terhadap kedua-dua pihak tidak kira siapa yang memulakan konflik. Ia juga meliputi perlindungan bagi mereka yang bukan pihak kepada konflik itu dan sekatan kaedah peperangan.

Pada SEATS ketujuh baru-baru ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), lebih 30 peserta berpeluang untuk belajar lebih lanjut berhubung rukun-rukun utama IHL serta tindakan kemanusiaan.

Dan melihat kepada maklumat balas daripada beberapa peserta, SEATS mengenai IHL sebenarnya telah berjaya dalam meningkatkan pengetahuan dan membolehkan mereka untuk menyampaikan apa yang mereka telah belajar di negara masing-masing.

Namun mungkin ada yang akan bertanya sejauh mana IHL itu penting bagi Asia Tenggara yang secara bandingan bebas daripada konflik yang teruk merentasi sempadan atau dalaman dalam sejarah modennya.  

Bercakap kepada Bernama, para peserta bersetuju bahawa walaupun IHL tidak terpakai di Asia Tenggara memandangkan rantau ini tidak menghadapi peperangan atau konflik lain, IHL tetap penting.

Di Indonesia, sebagai contoh, IHL adalah penting bagi pasukan tentera Indonesia kerana mereka juga menjalankan tugas menjaga keamanan di negara-negara seperti Lubnan dan Afrika, kata pensyarah Jakarta State Islamic University Zezen Zainal Mutaqin, yang juga perunding kepada ICRC.

Memandangan IHL adalah sebahagian daripada sukatan kajian undang-undang antarabangsa, Zezen menggunakan kajian kes ICRC semasa mengajar.

Beliau berkata, SEATS telah memberikan beliau pendedahan terbaik kepada IHL.

Seorang lagi peserta, Kapten Eduardo D. Esquivias Jags, Ketua Pemantauan, Siasatan dan Cawangan Perundangan Angkatan Tentera Filipina, berkata IHL adalah penting bagi pasukan  keselamatan Filipina yang juga terbabit dalam misi-misi keamanan antarabangsa.

ICRC membuktikan melalui IHL sejauh mana ia serius dalam melindungi orang awam dan mengelakkan tragedi manusia semasa konflik, tambah kapten ini.

Para peserta juga mengulas akan cabaran dalam melaksanakan IHL dengan Zezen berkata halangan terbesar adalah sama ada pihak-pihak yang terbabit dalam konflik akan dapat melaksanakan undang-undang kemanusian semasa misi mereka, sementara Jags menunjukkan kebimbangan utama adalah kejahilan terhadap IHL.

Zezen berkata adalah penting untuk mendidik pihak tentera dan orang ramai supaya mereka menyedari kesan atau akibat tindakan mereka semasa konflik.

Lagipun, beliau menunjukkan bahawa dengan kefahaman yang baik, orang ramai akan sedar akan peraturan-peraturan IHL dan kemungkinan ia juga akan membantu mencegah berlakunya sebarang konflik.

Jags menunjukkan bahawa IHL juga meliputi orang awam dan kerajaan secara keseluruhan, dan oleh sebab itu setiap orang perlu memahami IHL, undang-undang peperangan dan undang-undang konflik bersenjata.

“Jika orang ramai jahil, terdapat kemungkinan tinggi akan pencabulan IHL yang akan berterusan. Oleh itu, pengetahuan akan IHL adalah penting”, tambah Jags.

Bagi Pyoungkeun Kang, Profesor Undang-Undang Antarabangsa di Korea University, Seoul, SEATS mengajar beliau akan prinsip serta amalan-amalan IHL.

Beliau mahu mengajar para penuntutnya tentang apa yang telah dipelajarinya di sini.

Beliau menjelaskan bahawa para penuntut adalah pemimpin masa depan Korea dan, dengan itu, jika para penuntut berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai IHL, masa depan kedua-dua Korea (Korea Utara dan Korea Selatan) pasti lebih cerah.

“Selepas mengambil bahagian dalam bengkel ini, saya akan memperkenalkan pendekatan hampir sama dalam sesi pengajaran saya apabila saya kembali ke Korea,” kata Profesor Kang.

Mengenai bagaimana negara-negara yang terbabit dalam konflik bersenjata dapat memperbetulkan keadaan pada masa hadapan, katanya, IHL sedia membantu mereka dan lagipun IHL memperjuangkan nasib umat manusia.

Seorang lagi peserta Dr Nu Nu Yi, seorang Profesor di Jabatan Undang-undang Mandalay University di Myanmar, mencadangkan agar negara-negara yang terabit dalam konflik bersenjata perlu diingatkan akan kewajipan mereka di bawah IHL.

Sesi pengajaran selama enam hari dari 15-20 Julai disediakan bagi mereka yang mengajar atau bekerja dalam bidang undang-undang antarabangsa dan dasar, termasuk mereka yang berurusan dengan hak asasi manusia, misalnya kakitangan awam, polis atau angkatan tentera, media dan pertubuhan-pertubuhan palang merah/bulan sabit merah.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi