KUALA LUMPUR, 21 Feb — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sekiranya pihak berkuasa agama itu menghadapi masalah berkaitan pelaksanaan sijil halal di negara ini.
“Ikim memberi perhatian serius kepada masalah ini, Islam cukup terbuka untuk memberikan kefahaman kepada semua termasuk mereka daripada agama lain,” jelas Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar).
Bekas perdana menteri itu berkata, pemahaman yang lebih jelas diperlukan bagi menerangkan kepada masyarakat bukan Islam berkenaan pelaksanaan sijil halal yang dilihat tidak diambil berat oleh segelintir pengusaha produk makanan di negara ini.
“Jalan penyelesaian yang terbaik bukanlah mengambil tindakan undang-undang, sebaliknya memberi kefahaman dan penerangan kepada mereka berkenaan status halal ini.
“Sekiranya mereka memahami perkara itu, tidak akan timbul sebarang masalah berkenaan isu halal ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pencapaian Umat Islam Pasca-Merdeka: Pengajaran dan Langkah ke hadapan di ibu pejabat Ikim di sini.
Tambahnya lagi, Islam adalah agama yang menjurus kepada pemahaman dan pengajaran, bukannya bersifat menghukum.
“Program-program yang dianjurkan bukanlah untuk diragui, Islam adalah kebaikan dan Ikim selaku pusat kefahaman berkenaan Islam sedia membuka peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih lanjut berhubung perkara ini,” katanya lagi.
Bagi menyelesaikan kemelut itu, Ikim menurutnya akan mengadakan seminar Kemelut Pemakanan Halal, yang dijangka berlangsung dari 24 hingga 25 April ini bagi membincangkan perkara tersebut dan memberi kefahaman terhadap masalah itu di samping membentuk hubungan yang baik antara agama.
Baru-baru ini isu halal mula menjadi perhatian umum berikutan terdapatnya segelintir pengusaha premis yang tidak mempamerkan logo berkenaan, dan juga terdapat antara mereka yang memaparkan logo palsu dan tidak diiktiraf oleh Jakim.
Jakim dalam satu kenyataan lewat minggu lalu telah mengeluarkan kenyataan supaya masyarakat tidak mempercayai emel berantai yang dihantar oleh sesetengah individu yang berniat merosakkan nama baik sesebuah syarikat atas dasar persaingan.
Isu halal merupakan perkara yang serius bagi masyarakat Malaysia kerana majoriti penduduk negara ini adalah komuniti Muslim.






