Bahasa

Immigresen perkenal permohonan pasport secara online

KOTA BAHARU, 2 Nov — Jabatan Imigresen akan memperkenalkan permohonan pengeluaran pasport secara online bagi memberi kemudahan kepada mereka yang mempunyai perkhidmatan internet dan sibuk dengan tugasan harian.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) jabatan itu, Che Din Yusoh, berkata perkhidmatan percubaan itu akan diperkenalkan di kawasan Lembah Klang, bermula Disember depan.

“Ini adalah salah satu perkhidmatan baru yang diperkenalkan Jabatan Imigresen dalam usaha mempercepatkan proses permohonan dan pengeluaran passport di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Imigresen Zon Timur, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha ini juga dilakukan ke arah penambahbaikan mutu perkhidmatan yang disediakan kerajaan kepada rakyat, selaras gagasan kerajaan menerusi slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Beliau berkata, setakat ini jabatannya mengambil inisiatif memperkenalkan perkhidmatan pengeluaran passport dalam masa singkat iaitu selama sejam di 47 pejabat utama di seluruh negara yang dianggap kawasan panas, seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Pulau Pinang.

Katanya, perkhidmatan itu akan diperluaskan di semua Jabatan Imigresen di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menggunakan teknologi moden dalam proses permohonan dan pengeluaran pasport yang mempunyai ciri-ciri cip keselamatan canggih yang tidak digunakan di kebanyakan negara lain.

Ditanya sama ada Jabatan Imigresen bercadang untuk memperluaskan bidang kuasa pejabat imigresen di pintu masuk antarabangsa mengeluarkan pasport sebagai ibu pejabat negeri, Che Din berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk berbuat demikian.

“Setakat ini permohonan boleh dibuat di semua pejabat cawangan, termasuk di pintu masuk utama, tetapi ibu pejabat negeri sahaja bertanggungjawab mengeluarkan passport berkenaan melalui prosedur,” katanya.

Bagaimanapun, dengan penubuhan sebuah pejabat cawangan Gua Musang semalam, ia dapat mengatasi masalah orang ramai untuk mendapatkan pasport dengan mudah tanpa perlu datang ke ibu pejabat negeri.

Pejabat baru di Gua Musang adalah satu-satunya pejabat Imigresen cawangan di daerah atau jajahan di Kelantan selepas ibu pejabat negeri di sini.

“Dengan adanya pejabat baru yang mempunyai fungsi yang sama dengan ibu pejabat negeri orang ramai yang tinggal di kawasan Hulu Kelantan, termasuk di daerah Kuala Lipis, Pahang tidak perlu mengambil masa untuk datang ke ibu pejabat untuk membuat permohonan passport atau urusan berkaitan,” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.