Bahasa

Inkuiri Suhakam: Saksi dakwa lihat polis pukul perusuh cedera

Oleh Mohd Farhan Darwis
July 11, 2012

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Saksi ketiga untuk hari kedua Inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat pelanggaran hak asasi manusia hari ini memberitahu panel bahawa beliau melihat anggota polis melakukan keganasan terhadap perusuh, termasuk mereka yang mengalami kecederaan.

Kumar Suppiah, seorang ahli perniagaan berasal dari  Taman Desa, berkata kepada panel, ketika kekecohan berlaku selepas pihak polis anti rusuhan melepaskan gas pemedih mata, beliau melihat polis telah memijak dada seorang wanita yang cedera sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

“Ketika kekecohan itu berlaku, saya nampak kepulan asap gas pemedih mata dilepaskan dan kemudiannya saya pergi berlindung di mesin ATM di Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut.

“Di sana, saya terserempak dengan satu remaja perempuan sedang menjerit kesakitan dan saya bersama beberapa orang lain sekitar 10 orang membantu membalut tangannya dengan tuala kerana kami syak tangan dia patah,” kata Kumar.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, terdapat dua kumpulan anggota polis yang datang ke arah mereka dan salah satunya berjanji akan memanggil ambulan untuk membawa remaja perempuan itu ke hospital.

“Sekumpulan anggota polis dengan jumlah lima hingga enam anggota menghampiri kami, dan saya meminta bantuan mereka untuk memanggil ambulan kerana ada peserta yang tercedera.

“Mereka kemudian bergegas untuk memanggil ambulan.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, datang satu lagi kumpulan secara tiba-tiba terus memukul kami, termasuk remaja perempuan tersebut tanpa sebarang amaran,” jelasnya.

Tambah Kumar, beliau turut melihat salah seorang daripada anggota polis itu juga memijak dada remaja perempuan tersebut.

“Saya lihat dia (polis) pijak dada perempuan itu. Saya sendiri ditolak ke cermin dalam kawasan mesin ATM tersebut. Mereka kemudiannya mengheret saya keluar dan terus memukul kami, dan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga seorang pegawai arahkan mereka berhenti,” tambahnya.

“Kemudian saya lihat ambulan datang dan mengangkat remaja perempuan itu dengan lehernya berbalut,” tambahnya lagi.

Menurut Kumar lagi, beliau telah dibawa ke kawasan Kelab Diraja Selangor untuk dikumpulkan bersama-sama beberapa lagi perusuh yang ditahan, dan sepanjang perjalanan itu, polis yang dalam lingkungan umur 30an turut mengugut akan menghapuskannya setiba di balai polis.

“Saya di bawa ke kawasan Kelab Diraja Selangor. Kemudan, saya lihat seorang anggota polis sedang duduk di dalam trak dan saya bertanya kepadanya kenapa polis melayan kami sedemikian rupa.

“Anggota polis itu kemudiannya menjelaskan, dia sendiri mengakui kelakuan itu adalah seperti ‘samseng’, dan sebab itu dia hanya duduk di dalam trak,” katanya dan menambah,” polis itu memperkenalkan diri sebagai anggota dari Unit Tindakan Ringan.”

Menerangkan situasi ketika itu, Kumar menambah, beliau turut melihat ada seorang wanita yang dikasari polis dengan menarik rambutnya apabila mempersoalkan atas kesalahan apa dia ditahan.

“Saya juga melihat seorang lelaki dibelasah polis trafik menggunakan helmet, malah penguasa DBKL juga saya lihat turut memukul perusuh.”

Dalam inkuiri hari ini, Kumar turut membawa baju T kuning yang dipakainya ketika menyertai perhimpunan duduk bantah di ibu negara pada 28 April lalu yang telah dipenuhi tapak kasut but polis yang memukulnya.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi