KUALA LUMPUR, 17 Dis — Persatuan Penulis Nasional (Pena) kecewa dengan keputusan Putrajaya menarik balik pengguna novel kontroversi “Interlok” sebagai silibus sastera sambil menyifatkan perkembangan terbaru menunjukkan kerajaan tidak tegas dalam polisinya.
Setiausaha Agung Pena Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata keputusan itu, yang diumumkan oleh pemimpin-pemimpin MIC semalam, tidak harus berlaku.
“Kementerian Pelajaran seharusnya tegas... kita mengambil keputusan ‘flip-flop’, kata beliau yang masih menunggu keputusan rasmi kerajaan berkenaan keputusan.
“Kami akan membuat pendirian apabila adanya kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Tidak ada kenyataan rasmi. Kita perlu dengar kenyataan rasmi, kita akan tengok,” kata beliau lagi.
Katanya, keputusan terbaru ini akan memberi implikasi ke atas sistem pendidikan negara ini.
Dalam kenyataannya, Mohd Zakir juga mempersoalkan sebab keputusan Kabinet itu diumumkan oleh pemimpin-pemimpin MIC.
“Mengapa mereka perlu mendahului Kementerian Pelajaran, jadi tanda tanya adakah keputusan itu ada tujuan kepentingan politik,” katanya lagi.
Semalam, dua pemimpin kanan MIC mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel “Interlok” yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan oleh kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.
Beliau berharap penarikan balik novel karya Abdullah itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.
“Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya di Air Keroh, Melaka.
Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.
Perkara yang sama diumumkan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel di Kulim, Kedah.






