7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Interlok: Langkah Kabinet lewat tapi baik demi maruah penulis, harmoni

December 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Walaupun tindakan Putrajaya dilihat sudah terlambat, Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) menganggap keputusan menarik balik novel kontroversi “Interlok”, yang berlarutan hampir setahun, daripada digunakan di sekolah sebagai satu tindakan terbaik demi menjaga kewibawaan penulis dan keharmonian kaum.

Setiausaha Agung Paksi Hasni Abas berkata, daripada melakukan terlalu banyak pindaan dan pada masa yang sama rasa tidak puas hati pula berlanjutan, maka “adalah lebih baik tidak digunakan.”

“Saya fikir ini langkah baik walaupun Kementerian Pelajaran mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Penulis (Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husain) pun ada kewibawaan, maruah. Apa gunanya kita buat terlalu banyak pindaan sehingga mengubah ketulenan tulisan dan kandungan novel.

“Kita kena menghormati karya penulis, dan dalam hal ini, daripada dipinda dan dipinda, lebih baik jangan digunakan di sekolah, kalau ada kontroversi jangan digunakan sebagai bahan teks pelajar,” kata beliau sambil menambah, “jika orang dewasa hendak membaca sebagai bahan pengetahuan dan fakta, tiada masalah.”

Kata beliau, kerajaan sepatutnya telah mengambil langkah menarik balik “Interlok” ini sejak awal-awal lagi, bukannya membiarkan isu berkenaan berlarutan hampir setahun.

“Dalam mana-mana tulisan, penulis pun hak dan pembaca pun ada hak. Kalau novel ini mendatangkan suasana tidak harmoni, lebih wajar ia ditarik balik, tidak sesuai untuk dibaca oleh pelajar,” katanya lagi.

Semalam, dua pemimpin kanan MIC mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel “Interlok” yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan oleh kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Beliu berharap penarikan balik novel karya Abdullah itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.

“Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya di Air Keroh, Melaka.

Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Perkara yang sama diumumkan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel di Kulim, Kedah semalam.