Bahasa

Isa tolak isu pembelian apartmen London jejas peluang jadi naib presiden Umno

Isa menolak pembelian apartmen di London boleh jejaskan peluangnya. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 3 Oktober, 2013.Isa menolak pembelian apartmen di London boleh jejaskan peluangnya. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 3 Oktober, 2013.Tan Sri Mohd Isa Samad (gambar) hari ini menafikan isu pembelian kompleks apartmen mewah di London yang kini sedang di siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan menjejaskan peluangnya merebut jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan Oktober ini.

Menurut Pengerusi Felda Holdings itu, pembelian apartmen mewah tersebut bukannya untuk keperluan sendiri tetapi dibeli oleh Felda Investment Corp (FIC).

"Mana ada jejas, tidak ada isu pun. Ini dinamakan perniagaan, bukan Felda saja beli hartanah di luar negara, KWSP, Tabung Haji termasuk Mara pun beli juga. Jadi apa masalahnya?

"Ini berkaitan urusan perniagaan. Tidak ada kena mengena dengan politik. Pemilihan itu cerita lain," katanya dalam satu sidang di Menara Felda, Kuala Lumpur hari ini.

Pembelian kompleks apartmen mewah Felda bernilai £98 juta (RM497 juta) itu sedang disiasat oleh SPRM dan dijangka menjejaskan peluang Isa dalam merebut jawatan naib presiden Umno.


The Malaysian Insider difahamkan terdapat ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin Umno berhubung perbelanjaan besar Felda Investment Corp (FIC) UK Properties untuk Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia yang menetap di ibu kota United Kingdom (UK) itu.

Malah beliau juga mempertahankan tindakan Felda membeli hartanah itu dengan menyifatkan ia kos yang berpatutan sekiranya dibandingkan dengan pulangan yang bakal diperolehi.

"Kompleks Grand Plaza di London, logiklah dengan lokasi yang kita dapat, tempat yang strategik. Kita jadikan ia sebagai satu halal kitchen ia bukan pelaburan sangat menguntungkan.

"Malah Grand Plaza juga amat popular dalam carian tertinggi internet google kerana itu kita jangka akan mendapat semula pulangan modal pada tahun depan," katanya lagi.

Beliau yang dilihat kurang senang apabila ditanya mengenai peluangnya dalam pemilihan Umno kelak mengatakan pembelian kompleks tersebut dibuat sebelum proses pemilihan.

"Tidak ada kena mengena pun pembelian dibuat sebelum pemilihan lagi, dan proses ini memakan masa bukan dibuat sehari dua tetapi lebih daripada itu.

"Kalau kata ia akan menjejaskan peluang dalam Umno sebab saya Pengerusi Felda, takkanlah hendak dibekukan semua aset syarikat untuk bertanding. Sebab itu saya kata perniagaan ialah perniagaan, politik ialah politik," kata Isa.

Ditanya adakah beliau yakin dapat merebut jawatan naib presiden Umno, Isa dengan ringkas menjawab beliau mewakili pemimpin lama.

"Pemilihan ini juga satu perkara yang serius untuk merebut jawatan Majlis Tertinggi Umno. Ia bukan seperti pemilihan PAS, PKR.

"Hendak kata terlalu yakin, tidak. Namun, sebagai pemimpin lama saya tahu apa yang Umno inginkan. Saya juga tidak ada pakatan. Saya bersendirian dalam Umno dan ia terserah pada jawatankuasa" kata Isa.

Isa turut menafikan ada unsur rasuah dalam pembelian kompleks tersebut hingga menyebabkan ia disiasat oleh SPRM.

Isa merupakan salah seorang daripada tiga pencabar kepada tiga penyandang jawatan naib presiden Umno iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – 3 Oktober, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.