Bahasa

Isu dibangkit Musa cubaan alih perhatian dari PAU, kata Hishamuddin

Oleh Mohd Farhan Darwis

November 29, 2012
Latest Update: November 29, 2012 11:40 pm

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) melihat isu dibangkitkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan tentang berlakunya campurtangan menteri Kabinet dan ahli politik dalam urusan pihak polis adalah cubaan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada Perhimpunan Agung Umno (PAU)  yang sedang berlangsung.

Menteri Dalam Negeri itu menegaskan, isu yang dibangkitkan adalah isu sampingan dan kementeriannya telah pun memberi penjelasan ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen sebelum ini.

“Ada mana-mana pihak cuba alih (perhatian) dengan isu sampingan ... saya harap orang ramai jangan terkeliru dalam pemikiran dan agenda mereka.

“Ia isu cubaan untuk alih isu yang di sini (Perhimpunan Agung Umno),” kata Hisham ketika menjawab soalan pemberita berkenaan kenyataan Musa tersebut.

“KDN sudah jawab (isu tersebut),” katanya, dan menambah, bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan Umno, mereka mahu melihat isu yang lebih besar.

“Dalam BN kita nak lihat isu besar,” tambahnya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal bagaimanapun melihat kenyataan Musa itu umpama beliau sedang “lemas” dan memerlukan “ranting” untuk berpaut.

“Bekas IGP (Ketua Polis Negara) umpama manusia, kalau dia lemas, ranting pun akan digunakan, tidak kira ranting baik atau tidak baik pun tak mengapa.

“Namun saya yakin Musa Hassan matang, tidak semudah itu untuk beliau diperalatkan pihak seumpama ini,” kata menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu lagi.

Musa semalam turut menamakan salah seorang menteri tersebut adalah Hisham yang juga merupakan  antara yang terlibat dan mendakwa keenggannya mengikut arahan tersebut menyebabkan beliau tidak disambung kontrak.

Beliau turut mengkritik penggantinya, Tan Sri Ismail Omar sebagai seorang pegawai yang hanya mengikut perintah kepada ahli politik yang berpengaruh.

Namun, bekas pemimpin tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang nama tetapi mendakwa beliau menerima arahan tersebut daripada menteri, timbalan menteri dan ahli politik, juga daripada pembangkang.

Musa juga mensasarkan penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang dianggapnya sebagai seorang hanya mengikut arahan kepada ahli politik berpengaruh.

Beliau menggambarkan hubungannya dengan Hishamuddin sebagai biasa, tetapi Menteri Dalam Negeri tersebut secara langsung mengarahkan beliau untuk mengawal pasukan polis.

Musa berkhidmat sebagai KPN sebelum bersara pada 13 September 2010.

Sidang akhbar tersebut dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), sebuah pemantau bukan kerajaan (NGO) yang mengakui mereka akan “mencabar sebarang statistik yang dikeluarkan oleh PDRM”.

NGO tersebut mendakwa mereka mempunyai statistik jenayah “sebenar” daripada pasukan polis yang dituduh mereka telah “dimanipulasi” sebelum dikeluarkan kepada orang awam.

MyWatch juga mengakui mereka memiliki bukti melibatkan pegawai atas polis dengan kumpulan bawah tanah.

Mereka merancang untuk mendedahkannya secara berperingkat, bermula minggu depan jika PDRM masih enggan bekerja dengan mereka. 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi