7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Isu gereja: Serbu rumah ibadat canggah prinsip Islam, kata Khalid Samad

August 05, 2011

SHAH ALAM, 5 Ogos — Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya kelmarin bertentangan dengan prinsip Islam.

Jelas beliau, Islam mengajar umatnya untuk menghormati mana-mana agama termasuk Kristian dan dilarang menyerbu rumah ibadat tanpa alasan yang konkrit.

“Bagi PAS Selangor, kita berpegang kepada beberapa prinsip yang pertama mana-mana rumah ibadat dari apa-apa agama mesti dihormati, yang mana kita belajar daripada Rasulullah yang berpesan semasa berperang, agar rumah ibadat jangan diserang dan kalau ada mereka berlari ke rumah ibadat itu, jangan dikejar.

“Rumah ibadat dalam Islam perlu sentiasa dihormati, kita mahu orang bukan Islam berasa selamat dan dihormati apabila duduk dalam pemerintahan yang berasaskan Islam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam di sini.

Tegas Khalid, sepatutnya Jais bertindak dengan kuasa yang ada dan bukan menyerbu tanpa sebarang waran.

“Bila kita duduk dalam Malaysia dan Islam dilihat sebagai agama rasmi... kita mahu orang bukan Islam rasa selamat dan kita mahu agensi-agensi agama menzahirkan perkara itu.

“Iaitu kita mesti menzahirkan keadaan dan sikap menghormati kepada semua agama... soal masuk tanpa waran, kebenaran dalam satu majlis adalah satu tindakan yang harus dielakkan, lebih-lebih lagi di rumah ibadat,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Shah Alam, tindakan Jais itu boleh menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang bukan Islam.

“Ia adalah isu yang sangat sensitif dan boleh timbulkan salah faham, kami mahu semua orang ikut ajaran Islam yang mana semua agama lain harus dihormati.

“Jais perlu beri penjelasan, sediakan laporan... bagaimana, mengapa ia berlaku,” katanya.

Kelmarin, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira pukul 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

Bagaimanapun Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.

Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.

Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Mengulas langjut, tambah Khalid, sudah tentu umat Islam di negara ini akan marah sekiranya masjid juga "diceroboh" seperti mana yang berlaku di Gaza, Palestin.

“Saya baru balik dari Gaza. Di Gaza Israel ceroboh masjid ikut suka, kita bantah. Kita ada perasaan begitu. Saya rasa orang agama lain pun ada perasaan pandangan sama. Pada pandangan PAS, tempat ibadat perlu hormati,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman pula menyifatkan tindakan Jais itu sebagai tidak beretika dan kurang sopan.

“Pengalaman dulu Jais pernah masuk surau dan masjid secara kurang beretika. Tetapi itu zaman dulu, tetapi terbawa (hingga sekarang) mungkin,” katanya.