7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Isu MyPR-MyKad: PAS beri KDN tujuh hari

August 11, 2011

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS memberi masa tujuh hari kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat penjelasan berhubung isu pemastautin tetap menjadi warganegara dan didaftarkan sebagai pemilih.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya KDN gagal berbuat demikian, pihaknya akan membawa perkara tersebut terus kepada Perdana Menteri.

Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS hari ini menyerahkan memorandum kepada KDN menggesa siasatan dilakukan ke atas pendedahan dan laporan media berhubung isu ini.

Laporan Harakahdaily menyebut memorandum tersebut menuntut KDN menjalankan penyiasatan ke atas isu ini secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pengkhianatan terhadap negara.

Selain itu, KDN digesa memerangi tindakan ini semaksimum mungkin dan tidak membiarkan tindakan in berlaku pada masa akan datang.

Turut dituntut agar pihak yang terlibat dalam konspirasi ini didedahkan kepda umum sebagai pengajaran kepada orang ramai dan memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

“Pemuda PAS merasakan tindakan menukar status taraf pemastautin tetap kepada warga negara adalah kerja politik untuk meneruskan kesinambungan tampuk kekuasaan parti yang memerintah.

“Ia bukan semata-mata kerana kesilapan teknikal yang menyebabkan status mereka dalam pangkalan data jabatan Pendaftaran Negara tidak dikemas kini sperti mana jawapan klise JPN sebelum ini,” katanya selepas penyerahan memorandum di Putrajaya.

Sany turut menegaskan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga gagal memberikan penjelasan, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan perhimpunan aman ke Istana Negara meminta Yang di-Pertuan Agong campur tangan.

“Jika Perdana Menteri pun tidak mempedulikan tuntutan kita, Pemuda akan mengadakan perhimpuann aman ke istana negara untuk menyerahkan memorandum ini kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil kesal dengan sikap Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak serius untuk menyelesaikan isu tersebut mahupun sekurang-kurangnya menerima sendiri memorandum tersebut.

“Menteri hanya hantar pegawai yang masih muda dan ternyata tidak boleh membuat apa-apa kenyataan.

“Padahal kami sudah hantar surat awal-awal lagi, maklumkan untuk serah memorandum ini,” katanya.