Bahasa

Isu pendidikan, kesaksamaan ekonomi penarik undi masyarakat Cina kata Saifuddin

Datuk Saifuddin Abdullah berkata sekiranya isu pendidikan berjaya diselesaikan kerajaan BN, komuniti masyarakat Cina berkemungkinan besar kembali menyokong kerajaan. — Gambar failDatuk Saifuddin Abdullah berkata sekiranya isu pendidikan berjaya diselesaikan kerajaan BN, komuniti masyarakat Cina berkemungkinan besar kembali menyokong kerajaan. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan isu pendidikan dan kesaksamaan ekonomi adalah daya penarik bagi menarik undi masyarakat Cina yang kebanyakannya kini beralih menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Dalam satu temu ramah eksklusif The Malaysian Insider bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, Saifuddin berkata, sekiranya isu-isu seperti itu berjaya diselesaikan kerajaan Barisan Nasional (BN), komuniti masyarakat Cina berkemungkinan besar akan kembali untuk menyokong kerajaan.

“Untuk pengundi Cina, kita perlu benar-benar, menyelami sedalam-dalamnya isu yang mustahak untuk mereka, misalnya pendidikan.

“Secara peribadi, saya rasa kita perlu tunjuk “road map” bila kita nak iktiraf sijil yang dikeluarkan oleh 60 buah sekolah persendirian Cina,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau turut menambah,”mungkin ada perkara yang mesti diperbetulkan, dari segi standard kualiti, kalau kita tak luluskan sekarang, suatu masa nanti kita kena betulkan juga.”

Ahli Parlimen Temerloh itu juga bersetuju dengan tindakan kerajaan mengiktiraf sijil yang dikeluarkan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR Kolej) yang mana menurutnya adalah “langkah yang menjurus ke arah road map” berkenaan.

 “Kita perlu tunjuk roadmap, langkah ke arah itu sudah ada seperti pengiktirafan kepada TAR Kolej,” katanya lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan pelaksanaan isu-isu seperti kesaksamaan ekonomi merupakan perkara yang sukar dilaksanakan, namun kerajaan ujarnya perlu meyakinkan masyarakat Cina bahawa mereka mampu untuk melaksanakan perkara itu.

“Isu lain mungkin sukar ... tapi kita perlu selesaikan, contohnya kita perlu yakinkan mereka isu kesamarataan, layanan saksama dalam hal ehwal ekonomi, membantu orang miskin dan sebagainya tanpa mengira kaum ... kalau kita berjaya, kita boleh sedikit sebanyak mendapatkan sokongan masyarakat Cina.

“Tapi sebenarnya kerajaan dah bagi banyak, hanya ada satu dua perkara yang perlu diselesaikan kerana adalah mustahil kita dapat selesaikan, kalau PR memerintah pun saya yakin mereka tidak boleh buat,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun melihat dasar kerajaan BN sedia ada mempunyai masalah dari segi pelaksanaan, dan juga kekangan masa yang menyukarkan perkara itu dilaksanakan.

“Dasar kerajaan sudah cukup molek, hanya implimentasi mengambil masa sedikit, di samping terdapatnya beberapa kelemahan.

“Tapi di mana-mana pun ada masalah, cuma kita perlu lakukan lebih sedikit dan kita kena yakinkan mereka kita mampu untuk beri kesaksamaan kepada semua kaum dalam ekonomi,” jelasnya.

Isu pendidikan amat dititik beratkan oleh masyarakat Cina, apabila komuniti ini melalui Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)  menuntut beberapa perubahan dalam dasar pendidikan untuk memperkasa pendidikan Cina di negara ini.

Dong Zong sebelum ini telah menghantar memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu pendidikan Cina di negara ini.

Terdapat lapan tuntutan utama yang dibangkitkan Dong Zong antaranya adalah: masalah kekurangan guru yang serius di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, (SJKC); petempatan guru tidak berkelayakan bahasa Cina masih dihantar mengajar di sekolah Cina; Sijil Peperiksaan Bersama sekolah persendirian yang tidak diiktiraf; dan kesukaran permohonan pendaftaran ahli lembaga pengarah pengelola sekolah;

Selain itu, kesalahan surat kelulusan penubuhan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan supaya memenuhi keperluan sistem sekolah menengah Cina; dan penubuhan sekolah Cina persendirian Segamat turut menjadi tuntutan mereka.

Mereka juga turut mengemukakan masalah peruntukan pembangunan yang terlalu sedikit kepada SJKC dan masalah pelaksanaan mekanisme normal penubuhan SJKC dengan menyediakan rizab tanah sekolah dan peruntukan yang diperlukan untuk membina sekolah.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.