Bahasa

Isu siapa Perdana Menteri, hudud dan kontroversi warnai politik pembangkang tahun 2012

December 30, 2012

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Parti-parti pembangkang dalam sebuah pakatan yang rapuh saban tahun boleh dikatakan hanya menyajikan rakyat dengan pelbagai isu yang mencetuskan polemik dan kontroversi, tanpa membawa manfaat yang dapat dihargai oleh rakyat, apalagi yang boleh dinikmati. 

Tahun 2012, pakatan pembangkang yang terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan pelbagai isu kontroversi. 

Antaranya mereka menyokong semua tindakan menjamin keselamatan negara haram Israel, kebebasan memilih agama yang kononnya harus diperluaskan juga kepada umat Islam dan kenyataan menghina solidariti umat Islam yang bersatu membantah filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. 

Semua isu itu mencetuskan kemarahan rakyat khususnya orang Islam di negara ini, namun tidak diendahkan pakatan pembangkang yang mahu menarik perhatian dan simpati kuasa luar terhadap perjuangan mereka menggugat kerukunan hidup rakyat Malaysia. 

Tiada kesepakatan pendirian dalam pelbagai isu yang ditimbulkan, malah mereka dilihat seperti mahu menjaga ‘kilas kain masing-masing’ sahaja supaya tidak terlucut sokongan politik. 

Satu contoh ialah kenyataan mengenai menjamin keselamatan Israel oleh PKR dibidas keras oleh PAS. PAS mahu dilihat sebagai parti yang kononnya menjaga kepentingan Islam dan Palestin demi mengekalkan sokongan orang Melayu sedangkan PKR mahu menonjolkan ‘rasional’ pendiriannya selari pendirian kuasa Barat yang cenderung melihat kepentingan Israel biarpun rakyat Palestin sebenar-benarnya mangsa yang dizalimi rejim Tel Aviv. 

Turut mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat juga ialah kenyataan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham (gambar) yang mempersoal tindakan umat Islam membantah penyiaran filem anti-Islam “Innocence Of Muslims”. 

Kenyataan Ngeh dalam laman twitternya antara lain berbunyi: ‘Khairy wants muslim protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are muslims wasting too much time and energy on this?’. (Khairy (Ketua Pemuda Umno) mahu orang Islam membantah Sam Bacile (pembikin filem berkenaan). Untuk Islam atau untuk faedah politiknya?. Tidakkah orang Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga dalam hal ini?). 

Kenyataan Ngeh itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak termasuk PAS sehingga ada di kalangan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya beliau dipecat daripada DAP. 

Dan isu kontroversi pembangkang tidak habis di situ sahaja apabila anak ketua pembangkang, Nurul Izzah Anwar pula dilapor membangkitkan bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama. 

Laporan portal berita pro-pembangkang pada November lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu. 

 “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya pada forum bertajuk “Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?” di Subang Jaya, Selangor. 

Namun, kenyataan itu cuba dibela oleh bapanya yang menyifatkan kenyataan mengenai kebebasan beragama telah dipolitikkan dan dalam masa yang sama kenyataan itu telah mendapat teguran daripada pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Naib Presiden PKR itu. 

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pula meluahkan rasa kecewa dan dukacitanya terhadap kenyataan mengenai isu kebebasan beragama rakyat termasuk orang Melayu yang disifatkannya sebagai mengarut dan tidak masuk akal. 

Nurul Izzah juga diminta bertaubat oleh Anggota Majlis Syura PAS yang juga bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa serta Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkannya sebagai dosa besar. 

Selain mencetuskan kontroversi, pembangkang juga sering menyajikan rakyat dengan sikap tidak konsisten dan percanggahan pendirian antara satu sama lain bermula daripada isu hudud yang terus didendangkan PAS, dan setiap kali itulah mendapat bantahan dan kecaman daripada sekutunya, DAP. 

Pada Mei, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara. 

Bagaimana pun, Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh pula dalam serangan balasnya menggesa Abdul Hadi berhenti mengeluarkan kenyataan bagi pihak pakatan pembangkang. Karpal berkata Abdul Hadi tidak berhak berbuat demikian terutama ketika menyatakan pakatan itu akan melaksanakan hudud jika berkuasa dan menyifatkannya sebagai retorik semata-mata. 

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan bertegas bahawa parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud walaupun ada tentangan daripada pihak lain termasuk anggota pakatan pembangkang iaitu DAP. 

Banyak pihak melihat percanggahan itu tidak lebih daripada hanya bertujuan menjaga kepentingan masing-masing. DAP tentunya tidak mahu kehilangan sokongan pengundi Cina dengan berdiam diri, lantaran itu terpaksa bersuara keras. 

PAS pula tidak mahu kehilangan sokongan umat Islam. Anehnya, isu hukum hudud timbul setiap kali menjelang pilihan raya dan di negeri-negeri PAS berkuasa sejak lebih 22 tahun lepas tetapi ia tidak pernah pun dilaksanakan secara efektif. 

Pergolakan dalaman pakatan pembangkang tidak terhenti di situ sahaja apabila isu perebutan jawatan Perdana Menteri ditimbulkan anggota akar umbi ketiga-tiga parti. DAP sejak awal tahun lagi tetap dan konsisten mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang turut disambut baik oleh anggota PKR manakala akar umbi PAS pula mencadangkan Abdul Hadi diberikan jawatan Perdana Menteri. 

Selain itu, tahun 2012 juga menyaksikan episod pemecatan Datuk Dr Hasan Mohamad Ali daripada PAS sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco kerajaan negeri Selangor dan tindakan keluar parti Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Naib Pengerusi DAP. 

Hasan dipecat kerana mengkritik konsep negara berkebajikan yang dipilih oleh kepimpinan PAS yang didakwa telah lari daripada konsep perjuangan asal iaitu mewujudkan negara Islam. Beliau juga telah mempersoal tindakan PAS Selangor mengarahkan anggota-anggota PAS menyertai perhimpunan untuk membebaskan Anwar pada Januari daripada tuduhan liwat yang dihadapinya tetapi tidak membenarkan anggota-anggota PAS untuk menyertai perhimpunan anti-murtad tahun lepas. 

Hasan kemudiannya menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Jalur Tiga (Jati) yang mendakwa memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja. Tunku Aziz pada Mei mengumumkan keluar parti dan melepaskan jawatannya sebagai Naib Pengerusi DAP. 

Ini adalah berikutan tindakan DAP yang tidak melanjutkan tempoh keanggotaan beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang berakhir 30 Mei akibat kenyataannya yang membantah perhimpunan yang kononnya bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil yang dirancang di Dataran Merdeka pada 28 April lepas kerana khuatir acara itu boleh bertukar ganas. 

Selain itu, pembangkang sekali lagi dicemari dengan isu moral apabila dua pemimpinnya iaitu Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Dr Badrulamin Bahron terpalit dengan tuduhan khalwat bersama seorang wanita di Kuantan, Pahang manakala Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dikaitkan dalam skandal seks yang tersiar dalam akhbar dan laman blog yang disahkan adiknya Ummi Hafilda bahawa 99.9 peratus tampilan pelaku individu tersebut adalah Azmin. 

Di Kelantan, isu air masih menjadi tuntutan rakyatnya, peluang pekerjaan kepada golongan belia menganggur, lebuhraya rakyat dan terbaru isu kontroversi kedai gunting rambut bagi orang Cina menghantui parti pembangkang itu, apatah lagi puluhan janji demi janji lain pun tidak ditunaikan walaupun dituntut oleh rakyat jelata. 

Isu kedai gunting rambut itu timbul apabila seorang pengurus kedai gunting rambut di Kota Baharu, Ong Lee Ting mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010. 

Tindakan kerajaan negeri itu juga turut dikecam Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dilaporkan berkata mereka yang bukan Islam boleh membawa perkara itu ke mahkamah. 

Kerajaan PAS Kelantan kemudiannya menangguhkan penguatkuasaan syarat-syarat pelesenan di bawah undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang melibatkan kedai gunting rambut milik bukan Islam. 

Di Selangor, kerajaan negeri berdepan pelbagai isu seperti hutang Talam Corporation Berhad, Projek Loji Rawatan Air Langat 2, sampah tidak dikutip dan tindakan saman daripada 3,011 ibu tunggal yang menuntut tunggakan kira-kira RM16.26 juta atas kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008. 

Selain itu, Selangor yang ditadbir PKR turut berdepan dengan isu kegagalan kerajaan negeri menjemput Sultan Selangor menghadiri program sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri Ogos lepas yang kemudiannya dikecam pelbagai pihak. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga turut berdepan kenyataan serangan peribadi daripada Azmin bahawa beliau mungkin tidak lagi memegang jawatan itu jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum akan datang. 

Dalam pada pembangkang bertelagah, berpolemik dan mencetus kontroversi, Barisan Nasional terus menerus menjalankan kerja, mentadbir negara dengan baik, memakmurkan rakyat dan menepati segala janji. BN yakin rakyat yang waras akan membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan yang cemerlang dan perancangan hala tuju negara untuk generasi masa depan dan bukannya pembangkang yang alih-alih mendakwa manifesto pilihan raya mereka bukanlah janji yang mesti ditunaikan. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi