Bahasa

Izzah, Nik Nazmi buat laporan polis insiden serangan di Felda di Lepah Hilir

PETALING JAYA, 27 Feb — Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Komunikasi Nik Nazmi Nik Nik Ahmad hari ini membuat laporan polis berhubung serangan ke atas mereka ketika sesi ceramah di Felda Lepar Hilir 1, Paya Besar, Pahang malam tadi.

Menurut Izzah (gambar) yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata kepada pemberita, ketika beliau baru memulakan ceramah, seorang pemuda berbaju merah secara tiba-tiba meluru ke arahnya dan cuba menyerang beliau dari arah hadapan.

“Lelaki berkenaan merupakan ahli daripada sekitar 30 individu yang memakai baju dan bendera Umno, dan membuat provokasi ketika sejak kami tiba di lokasi ceramah.

“Mereka menjerit “Keluar Nurul Izzah”, “Keluar Nik Nazmi”, “Hidup Umno”, “Anwar Penyokong Israel”, dan sebagainya sambil menyanyikan lagu Umno,” katanya dan menjeaskan kumpulan itu berulang kali mendesak mereka keluar dari kawasan tersebut.

Tambah beliau, atas nasihat dan saranan pihak polis yang membuat kawalan, mereka meninggalkan premis berkenaan, namun penyokong Umno itu mengepung kenderaan mereka, sebelum Polis Bantuan Felda datang mengiringi mereka keluar daripada lokasi berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis yang memberikan bantuan kepada kami, walaupun mereka turut menjadi mangsa serangan provokasi pada malam itu,” katanya dan menjelaskan terdapat kurang daripada 10 pegawai polis berpakaian seragam dan Polis Cawangan Khas yang bertindak menjaga keamanan ketika insiden itu.

Ketika kejadian, Nurul Izzah menjelaskan terdapat kira-kira 100penduduk tempatan yang hadir untuk mendengar ceramah mereka.

Sementara itu, Nik Nazmi menjelaskan, tindakan provokasi yang dibuat kumpulan berkenaan telah bermula sejak mereka sampai di kawasan premis gerai makanan itu.

Sehubungan itu, beliau turut menuntut Perkasa dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat penjelasan berhubung insiden berkenaan.

“Saya menuntut Khairy dan Perkasa tampil menyatakan pendirian mereka terhadap tindakan anak muda yang menjadi perkakas Umno ini.

Tambah Nik Nazmi, pihaknya kesal kerana tindakan malam itu tidak menggambarkan kematangan anak muda dan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Ini negara berperlembagaan, rakyat boleh memilih parti yang mereka percaya, kalau benar Umno serius, saya minta Khairy rujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berbahas secara ilmiah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan maklumat daripada pihak polis yang diterima Nurul Izzah, pemuda yang disyaki cuba menyerang Nurul Izzah dikenali sebagai Asrullah Affendi Abdullah, Ketua Majlis Belia Malaysia cawangan Felda Lepar Hilir.

Kedua-dua pemimpin PKR itu membuat laporan polis di Balai Polis Merchant Square, Tropicana di sini.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.