Bahasa

Jais: Ada saksi enggan kerjasama, siasatan lewat

SHAH ALAM, 25 Ogos — Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Marzuki Hussin berkata badan itu masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan berhubung pemeriksaannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos lalu.

“Terdapat saksi-saksi yang enggan memberi kerjasama untuk kenyataan mereka direkodkan, ini menyebabkan kelewatan pihak Jais melengkapkan siasatan terhadap kes ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini.

Beliau berkata, Jais perlu memastikan bahawa siasatan yang dijalankan ini adalah telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan Jais juga tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru kerana dikhuatiri akan mengakibatkan penyiasatan tidak dapat dijalankan secara menyeluruh dan terperinci.

Jais perlu sentiasa mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat dalam kes ini dan memastikan keadilan dicapai terhadap semua pihak, kata Marzuki.

Jabatan itu juga perlu mengambil kira sensitiviti kes ini terhadap masyarakat di negara ini dan perlu sentiasa memastikan sebarang keputusan yang bakal dibuat akan mengambil kira kepentingan agama, masyarakat dan individu yang terlibat dalam kes ini, kata beliau.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments