Bahasa

Jais tahan ‘Tok Belagak’, 11 pengikut

July 30, 2011

SHAH ALAM, 30 Julai — Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menyerbu sebuah premis di Kota Kemuning di sini, yang dipercayai menganjurkan kursus berkaitan agama Islam tanpa tauliah.

Dalam serbuan 12.15 tengah hari itu Jais menahan seorang lelaki dikenali “Tok Belagak”, 46, isterinya dan 11 pengikut.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jais Zaaba Zakaria berkata kesemuan mereka dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan lisan.

Laporan Bernama Online menyebut, ketika serbuan, kira-kira 50 orang ada di premis dan Tok Belagak sedang menganjurkan kursus asas rawatan Islam Darul Saka yang disertai 36 peserta.

Beliau berkata semua peserta kursus itu telah diarah hadir ke pejabat Jais untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) iaitu mengajar agama Islam atau perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Katanya serbuan itu dibuat hasil aduan orang ramai mengenai kegiatan ceramah di kawasan tersebut.

Tok Belagak dipercayai mengajar kaedah perubatan Islam untuk merawat pesakit saka, sihir dan juga penyakit dalaman menggunakan ayat al-Quran, katanya.

Zaaba berkata kegiatan itu dipercayai telah dijalankan sejak dua tahun lepas yang mana setiap peserta dikenakan bayaran RM250 sehari.

Katanya Jais juga akan menyiasat sama ada kegiatan itu ada kaitan dengan ajaran sesat.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi