Bahasa

Jakim: 22 hotel, 51 dapur di KL miliki sijil halal

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Sebanyak 22 hotel dan 51 dapur di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diberikan pensijilan halal Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga semalam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata Jakim mengambil pendekatan memaklum dan menasihatkan masyarakat Islam di negara ini yang memilih untuk berbuka puasa di hotel atau menganjurkan majlis-majlis berbuka di hotel agar memilih hotel atau premis yang telah disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau turut menasihati pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal agar tidak menyalahguna terma-terma yang boleh mengelirukan pengguna seperti istilah “buffet Ramadan”.

Mereka yang berbuat demikian boleh diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunan (KPDNKK) di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, katanya.

Beliau berkata dari Mei hingga Julai lepas, Jakim menerima permohonan dari sembilan hotel dan daripada jumlah itu, empat telah mendapat kelulusan manakala lima lagi sedang dalam proses.

Pada 9 Ogos sahaja, Jakim menerima permohonan dari 10 hotel dan dua daripadanya telah selesai untuk proses dokumentasi manakala lapan lagi masih dalam proses semakan dokumen, katanya.

Orang ramai boleh melayari laman web www.halal.gov.my untuk membuat semakan senarai hotel di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mempunyai sijil halal. — Bernama

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments