Bahasa

Jakim nasihat masyarakat Islam tidak terpengaruh emel meragukan produk halal

February 20, 2012

PUTRAJAYA, 20 Feb — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam JAKIM menasihatkan umat Islam di negara ini agar tidak terlalu mempercayai e-mel berantai E-mel berantai yang mendakwa satu-satu produk itu tidak halal kerana dipercayai mengandungi unsur babi dan bahan haram, sebaliknya mereka perlu merujuk kepada badan berkenaaan terlebih dahulu bagi menentukan kesasihannya.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, sebahagian e-mel itu sengaja disebarkan pihak tertentu yang berniat jahat untuk menjatuhkan perniagaan pesaing mereka.

“Kemungkinan begini boleh berlaku memandangkan senario persaingan dunia perniagaan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Othman, Jakim tidak pernah membuat pengesahan sesuatu produk itu dikatakan haram hanya berdasarkan spekulasi, tetapi menurutnya, Jakim akan membuat  kajian secara terperinci terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Beliau turut mengulas permasalahan pengguna berhubung isu penggunaan beberapa kod nombor E yang didakwa sebagai tanda haram.

Jelasnya, tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan daripada sumber yang haram kerana bahan-bahan tambahan ini boleh bersumberkan daripada tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan.

“Pengguna mesti peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan.

"Pihak industri makanan dan barang gunaan bertanggungjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan menimbulkan keraguan kepada pengguna Islam.

“Manakala bahagian Hab Halal akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytiharkan kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia boleh digunakan tanpa waswas tetapi sekiranya produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan halal Malaysia walaupun menggunakan e-kod yang sama, terpulang kepada pengguna untuk menilainya.

Tegas Othmanb, Jakim tidak akan terlepas pandang kerana dalam proses pensijilan halal, pemohon perlu mengisytiharkan kesemua bahan ramuan digunakan dan akan melalui proses verifikasi dokumen dan seterusnya pengauditan di lapangan.

“Buat masa ini, Jakim mengiktiraf 56 badan Islam daripada 23 negara yang mengeluarkan sijil halal. Oleh itu Jakim hanya membenarkan logo halal Malaysia atau logo diiktiraf sahaja dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.

“Jakim juga menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan logo halal bersama agensi seperti Jain, KPDNKK, Kementerian Kesihatan, JPV, Kastam dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tiada penipuan bahan ramuan dan logo halal. Bahkan Jakim membuat pemantauan logo halal melalui lama sosial facebook, email dan SMS palsu,” katanya.

Tambah Othman, apa juga produk sama ada makanan dan sebagainya apabila sudah disahkan atau dicop logo halal Malaysia maka ia adalah suci dan halal serta tidak ada keraguan lagi.

Orang ramai yang mempunyai keraguan dinasihatkan merujuk Portal Halal Malaysia - www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan persijilan halal Malaysia.

Portal Halal Malaysia yang dilancarkan pada 2007 bertindak sebagai pusat sehenti dengan dilengkapi ruangan info halal, direktori halal, kemudahan aduan dan capaian ke atas sistem permohonan sijil halal.

Kemudahan carian halal adalah berdasarkan kod bar, diskripsi produk dan nama syarikat yang telah diberikan sijil halal.

Namun begitu, budaya merujuk sumber di Internet terutama berkaitan maklumat seumpama ini di kalangan masyarakat masih rendah.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi