Bahasa

JAKIM: Tiada kalimah ‘Allah’ dalam Injil, waspada dengan tuntutan Kristian

JAKIM memetik penyelidikan “saintifik” untuk menyokong dakwaan bahawa Kristian tidak mempunyai tuntutan yang sah kepada perkataan “Allah”. — Gambar failJAKIM memetik penyelidikan “saintifik” untuk menyokong dakwaan bahawa Kristian tidak mempunyai tuntutan yang sah kepada perkataan “Allah”. — Gambar failKUALA LUMPUR, 25 Jan — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengeluarkan teks rasmi khutbah Jumaat yang menegaskan kalimah “Allah” tidak terdapat dalam Injil mahupun Taurat, serta mengingatkan umat Islam supaya menolak tuntutan penganut Kristian yang mahu menggunakan perkataan Arab itu di dalam kitab mereka.

Kenyataan JAKIM ini dilihat sama sekali bertentangan dengan pendapat oleh bekas Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengatakan penganut agama Yahudi dan Kristian sudah menggunakan kalimah “Allah” jauh lebih lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad.

“Pertama, sebelum kita nak bincang Bible tak Bible ni, simple je. Bila orang Kristian ni pi kata, pi sebut Al- Masih anak Allah. Bila? ” tanya beliau seperti dilapor The Malaysian Insider 17 Januari lalu.

“Kelmarin dulu ka? Mula dengan geng Penang tu ka? Ataupun dah lama? Bila? Saya nak tanya, ada dak Yahudi dan Kristian di Madinah? Ada dak? Mereka hidup dak? Nabi benarkan tak mereka hidup?”

Teks khutbah hari ini mendakwa tujuan penganut Kristian membuat tuntutan dan usaha untuk menyebabkan umat Islam berpecah-belah serta tidak bersatu-padu.

“Hari ini musuh-musuh Islam cuba memesongkan dan meruntuhkan akidah ummah,” tulis teks yang dikeluarkan JAKIM untuk dibacakan dalam khutbah Jumaat hari ini.

“Mereka bersatu sesama mereka dan berusaha dengan pelbagai helah dan cara termasuklah dengan membuat tuntutan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab mereka.”

Malahan teks khutbah itu turut berkata kitab Injil yang menjadi rujukan kepada penganut Kristian tidak pernah merujuk tuhan mereka sebagai “Allah” sebaliknya menggunakan kata “The Lord”.

“Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan berdasarkan kajian ilmiah bahawa kalimah Allah tidak pernah terdapat di dalam Taurat ataupun Bible,” tulis teks tersebut lagi.

“Mereka percaya bahawa tuhan wujud dalam konsep Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan ), God the Son (Anak Tuhan ) dan Holy Spirit (Roh kudus), dan ketiga eleman ini dirujuk sebagai satu tuhan dengan panggilan umum (The Lord).”

Dalam teks khutbah itu lagi, JAKIM berkata ketetapan supaya kalimah “Allah” hanya khusus untuk umat Islam ialah bagi mengelak berlaku kekeliruan dan tersilap tentang identiti tuhan mereka.

“Sikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya.

“Kerana matlamat mereka yang utama adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa agama adalah sama,” kata teks khutbah yang ditulis JAKIM itu lagi.

Semasa kemuncak perdebatan melibatkan isu kalimah “Allah” ini dibincangkan, Mohd Asri antara tokoh agama yang tampil untuk memberikan penjelasan mengenai kemelut yang berlaku dalam negara ketika ini dan mempertahankan umat Islam tidak akan terkeliru dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam jika setiap umat Islam jelas dengan kepercayaan mereka.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu juga menjelaskan, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Yahudi dan Kristian adalah di antara sebab mereka digelar Ahli Kitab di dalam Al-Quran.

“Musyrikin orang yang mensyirikkan Allah. Sebab apa dia syirik? Sebab dia kata di samping Allah ‘beside Allah there is another god’. Di samping Allah ada tuhan yang lain.

“Maka dia dinamakan dengan Musyrikin. Kalau dia tak percaya langsung Allah itu namanya Atheist,” katanya lagi.

Mohd Asri mengatakan, tidak ada masalah jika kerajaan mahu menguatkuasakan undang-undang menghalang bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah bagi mengelakkan kekecohan tetapi jangan beri alasan Islam yang melarang penggunaan perkataan Arab tersebut.

Isu kalimah “Allah” tersebut berlanjutan dan terkini yang menjadi kontroversi adalah ugutan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim yang menggesa umat Islam untuk membakar kitab Injil berbahasa Melayu sehinggakan mengundang pelbagai kritikan daripada pemimpin politik Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat, aktivis serta pengamal undang-undang.

Kemuncak isu tentang kalimah “Allah” kembali diperkatakan semula selepas sambutan Perayaan Hari Natal tahun lalu, apabila penganut Kristian meminta Putrajaya untuk membenarkan kalimah suci tersebut digunakan dalam kitab Injil berbahasa Melayu tetapi kumpulan kedua berhujah penggunaannya perlu eksklusif kepada mereka atas alasan bahawa Islam adalah monoteistik dan perkataan “Allah” bermaksud tuhan kepada orang Islam.

Selain itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 mengatakan perkataan “Allah” tidak terhad kepada orang Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan dalam seksyen bahasa Melayu akhbar mingguan itu, Herald.

Penghantaran Alkitab, kitab Injil dalam bahasa Melayu kepada Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu telah disekat atau dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan dan membebaskannya pada tahun 2011.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.