7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Jamil: Hormati sensitiviti umat Islam untuk berada di masjid

August 27, 2010

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Semua pihak khususnya bukan Islam harus mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum memasuki masjid atau surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata perkara itu terpakai untuk semua tanpa mengira pangkat atau status bagi mengelakkan timbul persepsi negatif dan salah faham.

“Tidak kiralah sesiapa pun terutama sekali daripada golongan wanita yang nak ke dalam masjid haruslah mengambil kira (sensitiviti), apatah lagi mereka yang bukan Islam, sebab kadang kala ia akan diambil kira sebagai perkara yang sensitif kepada umat Islam yang lain,” katanya kepada Bernama selepas perasmian Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut.

Beliau berkata apabila seorang wanita dalam keadaan tidak menutup aurat memasuki masjid atau surau, masyarakat Islam akan melihatnya sebagai suatu yang tidak wajar.

“Bila pergi duduk dalam keadaan tidak menutup aurat apatah lagi duduk dekat dengan mihrab masjid, ia dianggap suatu yang tidak wajar berlaku dalam masjid,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dari DAP yang memasuki ruang solat utama Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lepas untuk memberi tazkirah, tanpa menutup kepala.

Katanya, semua pihak termasuk anggota Parlimen bukan Islam seperti dari DAP itu sewajarnya merujuk kepada pihak bertanggungjawab seperti Majlis Agama Islam Selangor untuk mendapat nasihat mengenai adab memasuki masjid atau surau.

“Sebab itu kita di masjid-masjid utama Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Majid Negara, Masjid Tuanku Mizan kita menyediakan pakaian untuk dipakai untuk pelancong-pelancong juga termasuk pakai skaf kepala.

“Itu untuk pelancong apatah lagi kalau tujuan untuk bagi ceramah, tazkirah...kena ambil kira nasihat bagi menjaga sensitiviti orang ramai supaya jangan ada salah takrifan dan sebagainya,” kata beliau. — Bernama