Bahasa

Janji BN turun harga kereta adalah realistik, kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, 7 April — Janji Barisan Nasional (BN) untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun adalah realistik dan mampu dilaksanakan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kerajaan telah lama berhasrat untuk menurunkan harga kereta tetapi mengambil masa untuk membuat perincian teliti bagi memastikan hasil kerajaan tidak terjejas dan pada masa sama rakyat dapat menikmati harga kereta yang lebih rendah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas Manifesto BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas melancarkan Kelab Penyokong BN Jerlun Lembah Klang, di sini hari ini.

Manifesto BN bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan' yang dilancarkan oleh pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Menyentuh tentang penubuhan Kelab Penyokong BN Jerlun Lembah Klang, Mukhriz, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, berkata ia antara lain bertujuan membantu kira-kira 2,000 pengundi Jerlun di Lembah Klang balik ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab semasa PRU-13 nanti. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.