Jawatan dalam parti bukan tiket kaut kekayaan — Ismail Sabri
BERA, 31 Ogos — Anggota Umno hari ini diingatkan bahawa jawatan dalam parti itu bukan landasan untuk mengaut kekayaan dan kemewahan.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua anggota parti sama ada anggota biasa mahupun berjawatan, perlu jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.
“Masih banyak lagi peranan yang perlu dimainkan Umno dalam membela nasib bangsa Melayu dan rakyat.
“Jika kita menjadikan keahlian dan jawatan dalam parti untuk memburu kekayaan sendiri, malanglah bagi parti yang diasaskan para pejuang bangsa sebelum ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Bera di sini.
Ismail Sabri yang juga Ketua Umno bahagian itu, berkata sambutan kemerdekaan ke-55 hari ini perlu mewujudkan rasa insaf kepada semua pihak dalam usaha membangunkan negara ini.
“Kemerdekaan yang diperolehi dan dirayakan pada hari ini hendaklah dijadikan sebagi satu landasan untuk meneruskan perjuangan bagi membela bangsa dan rakyat,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu.
Ismail Sabri juga berkata mulai tahun ini Umno bahagian itu akan membantu dan menyalurkan sumbangan terus kepada cawangan cawangan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti dan kegiatan dapat dijalankan di peringkat akan umbi.
Beliau turut mahu sayap parti turun padang menyelesaikan masalah rakyat kerana jika ini dapat dilakukan, Umno akan sentiasa di hati mereka. — Bernama



