Bahasa

Jawatankuasa khas royalti petroleum: Nik Aziz akan menghadap Sultan Kelantan

August 05, 2012

SHAH ALAM, 5 Ogos — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda mengenai wakil negeri itu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas berhubung isu bayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 

Nik Aziz (gambar) berkata setakat ini, pihaknya belum mengadakan perbincangan atau keputusan berhubung wakil Kelantan dalam jawatankuasa khas berkenaan. 

“Saya sendiri akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda. Hanya pada masa itu akan diumumkan nama wakil bagi negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Tabung Amanah bagi pembinaan Lebuhraya Kota Baharu ke Kuala Krai, di sini malam ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 

Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan. 

Mengulas lanjut mengenai Jawatankuasa Khas itu, Nik Aziz berkata kerajaan Pusat sepatutnya telah lama menubuhkan jawatankuasa tersebut. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi