Jelajah Merdeka Rakyat PKR sedia gempur kubu kuat Umno
TERKINI @ 12:26:08 PM 31-08-2012
PETALING JAYA, 31 Ogos — Jelajah Merdeka Rakyat PKR akan ke seluruh negara, terutamanya di kawasan pendalaman yang merupakan kubu kuat Umno mulai hari ini untuk perjelaskan isu-isu semasa sehingga parlimen dibubarkan, kata setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita akan bergerak ke pasar malam, kawasan perumahan, masjid dan tempat orang awam berkumpul di seluruh negara untuk perjelaskan isu-isu serta berkempen bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR),” kata Saifuddin (gambar).
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan bas Jelajah Merdeka Rakyat di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Tropicana, Petaling Jaya pagi tadi.
Turut hadir dalam acara ini presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Jelajah bermula hari ini dan akan singgah ke Bentong pada tengah hari, kemudian ke Benta, Pahang sebelum ke Gua Musang, Machang dan Tanah Merah di Kelantan.
Jelajah Merdeka Rakyat singgah di Bentong sempena dengan sambutan hari raya Aidilfitri cabang parti tersebut di Bentong, dan singgah di Benta untuk solat Jumaat.
Di sebelah malam pula, Jelajah Merdeka Rakyat akan turut dihadiri oleh mursyidul am PAS yang merupakan menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Sementara itu, Tan Sri Khalid Ibrahim yang ditemui berkata, rancangan memiliki bas jelajah ini sebenarnya sudah dirancang sebelum pilihan raya lalu, namun pada ketika itu parti tidak mempunyai kekuatan dan kemampuan pada ketika itu.
“Pada 2008, kita tidak mempunyai banyak kelebihan, tapi kita kerja kuat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kita.
“Hari ini kita sudah mempunyai kekuatan, jadi kita akan memberi tentangan yang lebih sengit kepada BN dalam pilihan raya akan datang.
“Disebabkan kita kerja kuat, kita menang di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak namun atas perkara teknikal, kita kehilangan Perak,” katanya lagi.
Dengan adanya bas jelajah ini,kerja-kerja kempen terutamanya di luar bandar akan menjadi lebih mudah dan penerangan akan sampai ke peringkat akar umbi lebih mudah, kata menteri besar Selangor itu.
Bas itu juga mempunyai pentas boleh alih yang boleh dipasang oleh krew bertugas dalam masa kurang dari 15 minit.
“Kita akan bergerak ke pasar malam, kawasan perumahan, masjid dan tempat orang awam berkumpul di seluruh negara untuk perjelaskan isu-isu serta berkempen bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR),” kata Saifuddin (gambar).



