KUALA LUMPUR, 22 Jun — PAS, komponen Pakatan Rakyat, hari ini mendakwa mesyuarat pegawai tertinggi polis dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mendedahkan bukti bagi menunjukkan Jemaah Islamiah (JI) mengambil pelajar-pelajar universiti tempatan.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberi kata dua bahawa pihaknya akan mendedahkan butiran taklimat itu, yang diadakan dua hari, jika kerajaan tidak membuat pendirian rasmi dan menunjukkan bukti sebelum akhir sesi sidang Parlimen ini.
“Kami meminta agar isu ini diperjelaskan di Parlimen. Kami memberi satu tempoh (kepada kerajaan) dan jika mereka gagal untuk memenuhi permintaan ini, kami akan mendedahkan butiran penuh taklimat itu,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata pihaknya mempunyai maklumat apa yang berlaku dan apa yang diperkatakan pada taklimat tersebut.
“...tiada bukti, empirikal atau lain-lain yang dibentangkan kepada kementerian dalam isu ini,” kata beliau pada sidang media bersama ahli-ahli Parlimen PAS pagi ini.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Salahuddin mendakwa kerajaan menggunakan taktik yang sama, yang digunakan oleh Amerika Syarikat iaitu isu ancaman pengganas bagi mencetuskan kebimbangan di kalangan orang ramai.
“Saya bimbang kerana ini mungkin boleh jadi satu agenda dunia, khususnya selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden AS Barack Obama baru-baru ini. Kami melihat agenda ini digunakan semula,” katanya.
“Mereka menggunakan kaedah ini untuk mengalih pandangan daripada isu-isu sebenar yang dihadapi (negara sekarang),” katanya.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula membidas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “gila” berhubung kenyataan mempertikaikan kerajaan dalam isu ini.
“Beliau berkata saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai gila.
“Adalah jelas dengan apa yang dikatakan oleh Salahuddin hari ini bahawa polis sendiri telah gagal menyediakan bukti yang ancaman-ancaman ini benar-benar wujud,” katanya.
“Kami tidak gila tetapi kita berdepan dengan kepolitikan gila yang menyebabkan kita gila,” katanya.
Mahfuz juga menambah, polis juga telah gagal membuktikan bahawa sekumpulan pengganas dikatakan telah melakukan cubaan untuk menyerang dua tempat beribadat masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor.
Beliau merujuk kepada kes sembilan rakyat asing dan seorang penduduk tempatan yang ditahan dalam serbuan antipengganas di Gombak awal tahun ini.
Warga asing itu telah dihantar balik ke negara masing-masing April lalu.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa kerajaan berusaha untuk mencetuskan “Islamophobia” di kalangan orang ramai dalam usaha membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Istilah pengganas selalu digunakan oleh pihak-pihak ini untuk mencetuskan kebimbangan di kalangan orang ramai. Mereka hendak mencetuskan rasa bimbang tentang Islam di kalangan bukan Islam,” katanya.
“Ini senjata yang digunakan oleh Amerika dan Israel,” katanya.
Terdaulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Anwar yang juga Ketua Pembangkang kerana memanipulasikan soal keselamatan dengan mendakwa kononnya kerajaan sengaja mempolitikkan isu ancaman JI.
Katanya, sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar seharusnya sedia aklum mengenai ancaman kumpulan berkenaan kerana ia juga sudah menular sejak beliau memegang jawatan itu.
Pada 14 Jun lepas, Musa berkata 10 warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan JI sejak awal tahun ini.






