7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

JPN nafi dakwaan 240 pekerja asing dari Johor diberi MyKad

October 15, 2011

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan Pemuda PAS bahawa pihaknya terlibat dalam isu enam buah bas yang membawa warga asing dari Johor untuk proses pemberian MyKad di sebuah resort berhampiran Putrajaya, Rabu lalu.

Ketua Pengarah JPN Datin Jariah Mohd Said berkata, pihaknya tidak terlibat dalam usaha membawa kira-kira 240 warga asing berkenaan.

“Kami tidak tahu tentang perkara itu, saya sendiri baru tahu selepas dihubungi pihak media. JPN tidak tahu menahu apa-apa tentang program yang dirancangkan mereka.

“Tiada pegawai saya yang berada di situ. Sebarang urusan pendaftaran dilakukan di kaunter atau pejabat JPN, bukan dibuat di luar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Jariah turut menafikan JPN ada terlibat dengan mana-mana sindiket pemberian MyKad kepada warga asing.

“Tiada sindiket, dalam apa juga bentuk untuk memberikan kad pengenalan MyKad biru kepada kumpulan itu,” katanya.

Beliau berkata, memberi kerakyatan bukan sesuatu perkara mudah, perlu syarat yang ditetapkan.

Rabu lalu, PAS mendakwa mengesan satu operasi berupa cubaan memberikan MyKad kepada sekumpulan warga asing dari Johor menaiki enam bas.

Timbalan Pengerusi Lujnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda Pas, Mohd Adram Musa berkata, pihaknya mengekori pergerakan rombongan berkenaan sehingga kenderaan mereka berhenti ke sebuah resort di Kampung Desa Putra, Sepang.

Adram berkata, ketua rombongan terbabit memberitahunya kesemua warga asing itu dibawa untuk kursus keusahawanan.

“Pasukan perisik PAS turut melihat kelibat beberapa pegawai kerajaan di situ. Kami ada rakamannya. Kami percaya ada cubaan memberikan MyKad kepada mereka,” katanya.