Bahasa

Jualan runcit di Amerika dijangka meningkat tahun ini

KUALA LUMPUR, 1 April — Amerika Syarikat menjangkakan kenaikan jualan runcit sebanyak 3.4 peratus tahun ini, demikian menurut unjuran ekonomi 2013 National Retail Federation.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata factor penyumbang kepada unjuran itu termasuklah pekerjaan, pertumbuhan pendapatan, perumahan, inflasi dan keyakinan pengguna.  

“Perbelanjaan berhati-hati pengguna pada separuh pertama tahun ini adalah disebabkan hakikat bahawa walaupun pasaran buruh terus pulih dengan sederhana tahun ini, pengupahan tidak dijangka meningkat, dan perundangan bagi peningkatan cukai senarai gaji baru-baru ini bagi berjuta-juta rakyat Amerika mengehadkan lagi perbelanjaan. 

“Sikap pengguna ketika ini dipengaruhi oleh situasi ini, tetapi peningkatan dijangkakan pada separuh kedua tahun ini,” kata agensi penggalakan perdagangan nasional itu dalam satu kenyataan. 

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Los Angeles Rusiah Mohamed berkata penambahbaikan sektor perumahan dan inflasi rendah memberikan lebih banyak alasan bagi jualan runcit tinggi. 

“Dengan perbelanjaan pengguna menjadi komponen utama ekonomi AS, yang dianggarkan antara 60 dan 70 peratus, peningkatan dan penurunannya sudah pastinya akan memberi kesan kepada jumlah barangan pengguna yang akan diimport Amerika Syarikat dari Malaysia. 

“Tahun lepas, import AS dari Malaysia meningkat 0.61 peratus dari 2011 kepada nilai US$25.94 bilion (RM80.4 bilion), peningkatan daripada penurunan 0.04 peratus dari 2010 hingga 2011,” katanya

Eksport utama Malaysia ke AS tahun lepas ialah set telefon dan fon video bernilai US$2.83 bilion, peningkatan 8.21 peratus berbanding 2011 dan menyumbang 10.89 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS. 

Ini diikuti oleh pemproses dan pengawal komputer pada US$2.19 bilion, penurunan 16.15 peratus dan menyumbang 8.46 peratus bahagian pasaran, semikonduktor fotopeka bernilai US$1.74 bilion, mencatatkan peningkatan 101.35 peratus berbanding 2011 dan menyerap 6.71 peratus bahagian daripada jumlah eksport ke Amerika Syarikat. 

Eksport telefon selular dari Malaysia ke Amerika Syarikat meningkat 66.92 peratus tahun lepas berbanding 2011 kepada nilai US$772.2 juta. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.