Bahasa

Jutawan Sosilawati, tiga lagi dipukul hingga mati dan dibakar

Anggota Jabatan Forensik melakukan siasatan pada bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi di Sungai Kancong Laut, Banting hari ini. — Foto BernamaAnggota Jabatan Forensik melakukan siasatan pada bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi di Sungai Kancong Laut, Banting hari ini. — Foto BernamaBANTING, 12 Sept — Pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, amat mengejutkan negara kerana selepas dibunuh dengan kejam, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat sini, sekali gus mengakhiri misteri kehilangan keempat-empat mangsa selama dua minggu.

Tambah memeranjatkan lagi, berikutan kejadian itu, seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di kawasan ini dan bergelar “Datuk”, telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka.

Perkembangan terbaru ini menambah senarai kes pembunuhan kejam yang negara pernah saksikan sebelum ini — antara kes bunuh dan rogol penganalisis maklumat, Canny Ong pada 2003 yang turut dibakar.

Kes-kes lain termasuklah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Kumpulan Utusan. Empat tahun lalu wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pyla dibunuh dan mayatnya kemudian diletupkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof menyifatkan pembunuhan Sosilawati bersama tiga lagi mangsa sebagai satu “pembunuhan kejam.”

Ketika ditemui di Masjid Tanah, Melaka berkata beliau menasihati rakyat supaya mempunyai fikiran lebih waras dan bertindak secara profesional sekiranya menghadapi sesuatu kemelut dan diselesaikan secara baik.

Selepas dinantikan lebih 12 jam sejak malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, kata Mohd Bakri pada sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara itu, bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan daripada bahagian forensik dan Jabatan Kimia.

“Apa yang boleh saya sahkan sekarang ialah selepas pengakuan suspek, peluang kesemua mangsa ditemui masih bernyawa adalah sangat tipis,” kata beliau dipetik Bernama.

Polis telah menghantar pasukan forensik dan kimia bagi mencari bahan bukti di kawasan tersebut, selain pakar patologi serta unit anjing pengesan.

Seorang kakitangan forensik yang enggan dikenali berkata mereka tercium bau petrol di kawasan di mana keempat-empat mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Selain pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke kawasan ini untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menjumpai kereta BMW Sosilawati di Apartmen Angsana di USJ 1, Subang Jaya serta kereta BMW Ahmad Kamil di kawasan perumahan di depan sebuah hotel di Subang Jaya.

Mohd Bakri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, dan polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan memandangkan kali terakhir kesemua mangsa dilihat adalah ketika mereka meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Mengenai motif kejadian tragis itu, beliau berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama  setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan difahamkan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap mereka bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kes membabitkan Sosilawati dan tiga yang lain itu juga bakal merungkai misteri di sebalik tembok besar yang mengelilingi kawasan ladang kelapa sawit yang turut menempatkan beberapa kandang lembu dan kambing.

Malah menurut Mohd Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

Menurut seorang penduduk tempatan, peguam berkenaan amat dikenali di kawasan itu kerana dia membantu pekerja asing yang ditipu gajinya oleh majikan mereka.

“Dia juga dikenali sebagai broker tanah. Tetapi kami amat terkejut apabila dia ditahan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik tanah yang terletak berhampiran kawasan kejadian berkata, ladang tersebut dilengkapi pintu elektronik dan tiada sesiapapun dibenarkan masuk.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.