Bahasa

Kabinet baru Najib akan ada “muka biasa”, lebih banyak orang Umno

Oleh Jahabar Sadiq
Pengarang


May 14, 2013

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Kabinet baru yang akan diumumkan esok akan mempunyai muka biasa dan penuh dengan ahli Parlimen Umno, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal berhadapan pemilihan parti tahun ini.

Berkemungkinan besar akan kembali adalah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, setiausaha agung Barisan Nasional (BN) dan Umno yang terkenal beberapa tahun lalu kerana dituduh mengaturkan perlantikan hakim semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Juga disenarai pendekkan adalah Datuk Seri Idris Jusoh, bekas menteri besar Terengganu bersama-sama Tengku Adnan dalam bilik perang BN yang merancang kempen gabungan tersebut untuk Pilihan Raya 2013.

 

Salah seorang lagi ahli bilik perang, ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis mungkin juga akan dihadiahkan jawatan Kabinet, kata sumber hari ini.

 

Akan tetapi mereka mengatakan tiada calon kalah dalam pilihan raya umum akan dilantik menjadi menteri Kabinet melalui perlantikkan menjadi senator.

 

Senarai Kabinet sedang diteliti dengan jangkaan mereka perlu selaras dengan usaha Najib untuk pembaharuan selepas mendapat mandat sendiri pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.

 

Terdapat spekulasi beliau akan mengambil muka baru dan muda untuk meneruskan agenda reformasi dalam manifesto BN dan pelbagai inisiatif sosio-ekonomi semenjak menjadi perdana menteri pada 2009.

 

Nama dua tokoh syarikat berkait negara Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar juga difikirkan akan tetapi terdapat sentimen kuat di Putrajaya mahukan Umno diberikan ganjaran kerana memenangi 88 kerusi Parlimen.

 

Salah seorang yang turut dibincangkan untuk jawatan Kabinet adalah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan tetapi mendapat tentangan daripada kem Mahathir yang berhujah pengalaman beliau di zaman Abdullah akan menjadi liabiliti kepada Najib.

 

Dari pihak Najib, beliau mempercayai Khairy yang meningkatkan majoritinya dari 5,746 undi pada Pilihan Raya 2008 kepada 18,357 dalam pilihan raya tahun ini penting untuk mengelola media sosial dan memberikan strategi untuk memenangi hati golongan muda.

 

Dilema kepada Najib adalah sama ada untuk mengenepikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Dalam Negeri atau mengekalkan naib presiden Umno itu di sana. Tinjauan atas talian The Malaysian Insider hari ini menunjukkan hampir 18,000 responden, 97 peratus menentang beliau terus kekal sebagai Menteri Dalam Negeri.

 

Dua lagi naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal dijangkakan akan mengekalkan kedudukan Kabinet masing-masing sebagai menteri pertahanan dan menteri pembangunan luar bandar.

 

Difahamkan juga, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangkakan akan mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Agensi berita nasional Bernama melaporkan Najib akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara, di sini, pada 12 tengah hari esok bagi mendapat perkenan terhadap cadangan pelantikan barisan Kabinet baru.

 

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini, Baginda telah memperkenan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri diadakan di Istana Negara, 9.30 pagi Khamis.

 

The Malaysian Insider difahamkan, Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dijangka akan mengisi kekosongan jawatan menteri wanita dan pembangunan masyarakat dimana sebelum ini beliau adalah timbalan menteri di kementerian tersebut.

 

Awal hari ini Bernama melaporkan muka baru dari Sabah dan Sarawak disebut-sebut akan mengisi kekosongan wakil Cina dalam Kabinet berikutan pendirian MCA dan Gerakan tidak mahu menerima jawatan dalam kerajaan selepas kegagalan dalam pilihan raya umum 5 Mei.

 

Antara nama yang disebut adalah Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing, 52 yang juga ahli Parlimen Bintulu dan bekas pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

Selain Tiong, dua anggota Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu Datin Linda Tsen Thau Lin, 57, anggota Parlimen Batu Sapi, dan juga Datuk Mary Yap Kain Ching @ Mary Yap Ken Jin, 62, anggota Parlimen Tawau, turut dikaitkan sebagai calon Kabinet.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi