Bahasa

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia akan diperluas kepada pelajar luar negara

BERA, 22 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperluaskan pemberian Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) kepada pelajar di luar negara bagi membolehkan mereka membeli barangan dengan potongan harga ketika berada di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat dan akan berunding dengan Kementerian Pengajian Tinggi, kedutaan dan badan kebajikan pelajar di luar negara sebelum kad tersebut diberikan.

“Rundingan ini perlu bagi mengetahui bilangan sebenar pelajar di luar negara yang memerlukan kad diskaun itu untuk digunakan semasa mereka pulang nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Maktab Koperasi Malaysia bersama masyarakat di Kampung Guai di sini hari ini.

Beliau berkata dalam fasa pertama kad itu dilancarkan tahun lepas, sebanyak 1.2 juta KDS1M diberikan percuma kepada pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.

Kad tersebut katanya boleh digunakan di lebih 2,000 rangkaian kedai termasuk kedai buku, kedai serbaneka dan kedai makanan segera selagi pemegang kad masih belajar di pusat pengajian tinggi.

Menurut Ismail Sabr selain KDS1M, kerajaan turut memperkenalkan kad diskaun lain bagi meringankan beban rakyat termasuk Kad Skuad Pengguna; 1Malaysia Privilege Card; Kad Bekas Tentera; Kad Orang Kelainan Upaya dan Kad Pesara Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata tiga juta pemegang kad pintar itu menikmati potongan harga bagi barangan dan perkhidmatan antara lima dan 50 peratus di 2,170 premis perniagaan di seluruh negara. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments