Bahasa

Kadar gaji minimum ditetapkan, beza RM100 antara timur, barat Malaysia, kata sumber

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Kabinet bersetuju untuk menetapkan kadar gaji minimum di bawah RM1,000 untuk 3.2 juta pekerja di sektor swasta, dengan perbezaan RM100 antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Najib memutuskan membuat kelainan kadar gaji daripada perbezaan sektor walaupun beberapa sektor akan diketepikan daripada polisi.

Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah menetapkan kadar gaj minimum RM1,500 seperti yang dituntut kebanyakan kesatuan tetapi dibantah majikan.

“Gaji minimum di bawah RM1,000 kerana menteri berkata sebelum ini dan Kabinet meluluskannya,” kata sumber merujuk Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S. Subramaniam (gambar) berkata dua minggu lalu bahawa Kabinet akan membuat keputusan tidak lama lagi.

“Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi,” kata seorang lagi sumber.

Kerajaan telah memperbaharui perkhidmatan gaji awam sejak 1 Januari tetapi berdepan dengan masalah selepas kesatuan kakitangan awam Cuepacs berkata kenaikan gaji tidak sama dengan kira-kira 2,000 pegawai kanan mendapat kenaikan yang tinggi sementara 1.3 juta yang lain sebaliknya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan kajian semula yang akan dibentangkan pada 16 April.

Kesatuan sekerja sektor kerajaan dan awam telah meminta kadar gaji minimum sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun majikan mengatakan ia tidak bagus bagi pasaran tempatan terutamanya persaingan dari ekonomi serantau yang menggunakan tenaga kerja yang lebih murah. Tetapi Najib mensasarkan sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam meminta agar isu gaji minimum dipertimbangkan, mengingatkan Malaysia boleh manjadi muflis jika ia dilaksanakan sekarang seperti yang berlaku di negara Barat.

Beliau yang masih berpengaruh walaupun telah bersara pada 2003 menegaskan kerajaan persekutuan mahu melaksanakan dasar gaji minimum tanpa mengambil kira cuti umum termasuk cuti hujung minggu dan cuti perayaan yang akan mendatangkan risiko kepada ekonomi negara.

Beliau menggambarkan negara Barat muflis disebabkan mereka tidak mampu bertahan daripada terus membayar gaji yang tinggi kepada kakitangan walaupun khidmat yang diberikan kurang terutamanya pasaran Asia yang menjadi lebih kompetitif.

“Saya bimbang Malaysia menuju ke arah ini jika kita membayar lebih untuk khidmat yang kurang, seperti yang kita lakukan sekarang,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya.

Bagaimanapun Dr Subramaniam bulan lalu berkata struktur gaji dicadangkan selepas mengambil kira kajian Bank Dunia, termasuk faktor-faktor utama seperti kos sara hidup, indeks garis kemiskinan, produktiviti dan kadar pengangguran.

Kadar gaji baru akan memberi impak yang besar di Sabah, di mana purata pendapatan di sana adalah RM577, diikuti Sarawak, RM758. Di Semenanjung Malaysia, purata gaji minimum adalah RM1,131. Hampir 33 peratus kakitangan di sektor swasta dibayar kurang RM700 sebulan, yang ia di bawah garis kemiskinan, menurut laporan News Straits Times.

“Jika kita membayar antara RM800 dan RM1,000, ia tidak mempunyai sebarang kesan negatif ke atas tarikan pelaburan, tetapi jika ia lebih tinggi daripada RM1,000 maka ia boleh menyebabkan kesan negatif terhadap ekonomi,” katanya menambah dasar itu boleh dilakukan secara berperingkat, dengan menangguh pelaksanaan itu dan memberikan majikan tempoh menstruktur semula rangka gaji mereka, kemudian baru laksanakan kadar gaji minimum.

Beliau menambah ia perlu dikaji semula setiap dua tahun, mengingatkan majikan bahawa mereka akan berdepan denda maksimum RM10,000 jika gagal mematuhi dasar itu.

“Sebab untuk dasar ini kerana sepanjang 10 tahun lalu, terdapat peningkatan hanya 2.6 peratus setahun dan kita ketinggalan di belakang negara lain yang telah melaksanakan kadar gaji minimum.

“Sekarang kita sedang memperkemaskan kadar gaji kita, merentasi jurang mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan,” kata Dr Subramaniam.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.