BANGI, 11 Julai — Satu kajian terbaru di kalangan golongan muda Muslim di Malaysia menunjukkan majoriti berpendapat Perlembagaan Persekutuan wajar digantikan al-Quran sebagai panduan perundangan negara.
Sekitar 72 peratus responden ditemui dalam satu kajian kendalian bersama menyatakan pendirian menyokong soalan berkaitan Perlembagaan digantikan dengan al-Quran manakala 25 peratus pula tidak bersetuju.
“Ada sokongan kuat bagi hukuman di bawah kanun jenayah syariah iaitu hukum hudu, dan pandangan agar al-Quran menggantikan Perlembagaan Persekutuan,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian ketika membentangkan hasil kajian di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Katanya, lebih ramai lelaki berbanding dengan wanita mahukan al-Quran menggantikan Perlembagaan Persekutuan.
“(Bilangan) Muslim di Sabah dan Sarawak rendah (dalam soal ini), hanya separuh daripada mereka mahukan Perlembagaan Persekutuan digantikan dengan al-Quran,” kata Ibrahim dalam hasil kajiannya.
Seramai 1,060 responden terbabit dalam kajian ini, yang dikendalikan antara Oktober dan November 2010. Responden berusia antara 15 dan 25 tahun.
Kajian perbandingan ini juga membabitkan responden dari Indonesia.
Daripada seramai 1,060 responden yang ditemui 31.9 peratus berusia antara 15 hingga 17 tahun, 12.6 peratus (18 hingga 19 tahun), 30.3 peratus (20 hingga 22 tahun) dan 25.2 peratus berusia 23 hingga 25 tahun.
Dari segi etnik, 91.4 peratus responden adalah orang Melayu, 8.2 peratus Bukan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain 0.3 peratus. Baki 0.1 peratus tiada jawapan.
Ketika ditemui kemudian Ibrahim berkata, sebagai seorang Muslim adalah normal bagi mereka memberikan pandangan sedemikian memandangkan al-Quran adalah sebahagian daripada kehidupan Muslim.
“Kita tidak boleh menidakkan (hakikat ini) sebab al-Quran adalah sebahagian daripada hidup umat Islam. Dan, saya melihat ia disebabkan pelbagai faktor... al-Quran adalah cara hidup mereka, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara Islam yang lain,” kata beliau lagi.
Bagaimanapun beliau menolak ia kemungkinan ada kaitan dengan ideologi atau dasar negara Islam PAS dan proses Islamisasi sejak tiga dekad lalu.
Selain itu kata beliau, responden memberikan pandangan sedemikian sebab mereka tidak didedahkan kepada Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh.
Ia juga dilihat kepada faktor umur di mana responden terdiri daripada mereka berusia antara 15 dan 25 tahun. Separuh daripada mereka berusia 21 tahun ke bawah.
Ketika ditanya sama ada ini kali pertama soalan sedemikian ditanya, Ibrahim tidak menolak kemungkinan itu.
Justeru jelas beliau, soalan yang ditanyakan itu juga terlalu umum.
“Tiada soalan susulan, tiada soalan lebih mendalam bagi menjawab pendirian mereka... ini soalan umum,” katanya sambil berkata, pendirian itu tidak boleh dianggap bahawa Malaysia sebagai negara majmuk dengan majoritinya beragama Islam sedang menuju persekitaran konservatif.
Kajian bertemakan “Nilai, Impian dan Ideal: Belia Muslim di Asia Tenggara” dikendalikan bersama oleh Merdeka Center, Universiti Kebangsaan Malaysia, Goethe Institut Malaysia dan Friedrich Naumann Foundation for Freedom di sebelah Malaysia dan juga penyertaan Lembaga Survei Indonesia di republik itu.






