Bahasa

Kajian: Melayu anggap ‘Cina tadbir’ Pulau Pinang meskipun Guan Eng popular

Oleh G Manimaran
November 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Nov — Pengundi Melayu Pulau Pinang masih beranggapan bahawa kerajaan negeri itu kini ditadbir oleh kaum Cina meskipun kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng sejak 2008 popular berbanding dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Kajian kendalian Ilham Centre merumuskan walaupun dahulu Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan di bawah Barisan Nasional (BN), sehingga ia tewas pada 2008, tetapi orang Melayu tidak melihat dahulunya negeri tersebut ditadbir oleh pemimpin dari keturunan Cina, sebalknya dipimpin perikatan diketuai Umno.

Ia menambah perkembangan tersebut menunjukkan bahawa doktrinisasi media terhadap Pulau Pinang dilabel sebagai “kerajaan Cina atau DAP” memberi kesan positif di kalangan kaum Melayu dan dilihat berjaya.

“Oleh itu, imej kerajaan negeri dilihat sebagai kerajaan DAP bukannya Pakatan Rakyat,” kata hasil kajian yang dikeluarkan hari ini.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR memimpin negeri itu selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Kajian itu menambah, walaupun imej Lim sangat dikenali dan dihormati oleh hampir 30 peratus responden, tetapi mereka masih beranggapan bahawa orang Cina yang mentadbir Pulau Pinang.

Lim (gambar) menerima 30 peratus sokongan responden berhubung soalan tokoh kepimpinan negeri dan tempatan yang dikenali dan dihormati.

Lim disusuli dengan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim dan Ketua Umno negeri Datuk Zainal Osman.

“Sama seperti mereka melihat DAP iaitu mereka meyakini bahawa pimpinan negeri ini adalah Cina dan kerajaan negeri dipimpin oleh Cina.

“Walaupun begitu, Lim Guan Eng lebih dikenali dan disegani dengan sikap ‘humble’, mudah mesra dan sering kali dilihat turun padang. Namun, atas sentimen dan prejudis Umno, beliau tetap dilihat sebagai Cina yang mengancam Melayu,” kata hasil kajian bertajuk “Persepsi dan Tanggapan Pengundi Melayu Terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan Pulau Pinang”.

Kajian yang dikendalikan antara 7 hingga 9 Oktober lalu melibatkan 720 pengundi Melayu berdaftar di kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor serta Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, kesemua dikuasai oleh Umno-BN.

Daripada jumlah itu, 43 peratus respoden merupakan orang Umno manakala baki 57 peratus adalah pengundi atas pagar.

Kajian itu menunjukkan bahawa PAS tidak menjuarai kepentingan memandangkan parti Islam tersebut tidak memberikan kesan di hati pengundi Melayu.

Malah menurut kajian itu, kehadiran PAS tidak dilihat sebagai pembela Melayu-Islam manakala tokoh-tokoh dan kepimpinanya kurang dikenali oleh pengundi berbanding tokoh-tokoh Umno.

“Pada pengamatan Ilham, ini kerana PAS di bawah Pesuruhjaya (PAS) Salleh Man terlalu lemah dan gagal meletakkan PAS dikenali dan disegani oleh pengundi sama ada dari segi kebajikan, program kemasyarakatan, dakwah semuanya tidak membekas di hati orang Melayu,” katanya lagi.

Mengenai kepimpinan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan ahli jawatankuasa PAS pusat  Dr. Mujahid Yusof, kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang, ternyata dilihat jauh daripada politik Pulau Pinang dan mereka dikatakan tidak berminat untuk membela nasib orang Melayu Pulau Pinang.

“PAS pula dikaitkan sebagai boneka DAP.

“PKR tidak dilihat boleh membela Melayu walaupun Datuk Mansor dan Exco Abdul Malik Abul Kasim merupakan tokoh Melayu berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri,” kata kajian ini.

Ia menambah, PKR dilihat sebagai parti pelbagai kaum yang  agak tidak berideologi Melayu, maka pengundi Melayu melihat bahawa ia tidak dapat membela nasib Melayu.

“Faktor (Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri) Anwar Ibrahim tidak dilihat dapat mempengaruhi keseluruhan pengundi Melayu di Pulau Pinang, dan hanya berkesan di beberapa kawasan terutama di Permatang Pauh.

“Selain itu, isu yang melibatkan PKR juga sedikit sebanyak memberikan perspektif negatif seperti isu Timbalan Ketua Menteri lama (Fairus Khairuddin) dan isu lompat parti,” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi