Bahasa

Kanang dikebumi di perkuburan Pahlawan

January 06, 2013

KUCHING, 6 Jan – Pahlawan negara, mendiang Datuk Temenggong Kanang Langkau, disemadikan di tanah perkuburan Pahlawan di sini hari ini dengan penuh penghormatan tentera yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Datuk Temenggong Kanang LangkauDatuk Temenggong Kanang LangkauKeranda, yang membawa jasad penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), anugerah keberanian tertinggi Malaysia, itu dibawa ke kawasan pengebumian oleh lapan orang pengusung yang terdiri daripada Pegawai Waran 1 (PWI) mewakili tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia diketuai PWI Michael Awie.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, mewakili kerajaan Persekutuan dalam upacara itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, yang mewakili kerajaan negeri.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jen Tan Sri Rodzali Daud dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.

Ketua paderi gereja St Thomas Cathedral Kuching, Rev Fr Michael Buma Galami melakukan upacara terakhir sebelum keranda itu diturunkan.

Jalur Gemilang yang membaluti keranda itu kemudiannya dilipat oleh pengusung keranda dan diserahkan kepada Jabu sebelum menyampaikannya kepada balu mendiang Kanang, Datin Brawang Chunggat.

Jabu juga mengetuai kenamaan yang lain menabur bunga di kubur bagi menamatkan upacara itu.

 Kanang, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak di Kuching pada pukul 1.45 pagi Khamis lalu kerana serangan jantung telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 21 tahun mulai 1962.

Bekas Pegawai Waran 1 Batalion kelapan Renjer Diraja ini merupakan satu-satunya anggota tentera Malaysia yang menjadi penerima dua pingat keberanian iaitu SP dan Pingat Gagah Berani (PGB) pada 1981 berikutan

pengorbanannya kepada negara memerangi pengganas komunis di mana beliau hampir kehilangan nyawa dalam salah satu pertempuran.

Kanang juga memainkan peranan penting dalam usaha membawa balik sisa rangka 21 penjejak Iban, yang ditanam di beberapa tempat di semenanjung selepas terkorban dalam perang menentang komunis pada 1960an, kembali ke Sarawak di mana mereka dikebumikan semula di tanah perkuburan Pahlawan. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi