Bahasa

KDN dicadang haramkan karya penulis Syiah - Bernama

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menarik balik dan mengharamkan serta-merta bahan bercetak seperti buku atau novel yang terbukti karya penulis berfahaman Syiah, cadang seorang Ahli Dewan Negara.

Senator Datuk Noriah Mahat berkata, KDN juga perlu mengambil tindakan keras terhadap individu terbabit agar hasil tulisan mereka tidak terus berada di pasaran kerana bimbang merosakkan pemahaman masyarakat Islam.

"Jika tidak dikawal, saya khuatir golongan muda terpengaruh dengan hasil tulisan mereka yang berfahaman Syiah kerana golongan muda kita lihat mudah terpengaruh akibat rasa ingin tahu.

"Karya seperti ini perlu disekat dan diharamkan demi menjaga kefahaman umat Islam agar tidak terus longgar sehingga meringankan ibadat, Rukun Islam dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Noriah juga menyokong segala usaha KDN dalam memerangi kegiatan Syiah di negara ini kerana kerajaan telahpun mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, tindakan itu tepat pada masanya memandangkan pengaruh syiah semakin berkembang dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menambah jumlah depoh tahanan bagi menampung pertambahan pendatang tanpa izin yang ditangkap sebelum dihantar ke negara asal mereka.

"Memandangkan jumlah pendatang tanpa izin yang ada sekarang mencecah angka 1.3 juta (setakat Ogos 2012), sudah pasti gerakan menangkap memerlukan pertambahan depoh tahanan untuk mengelak kesesakan," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu pendatang tanpa izin kerana golongan berkenaan menimbulkan pelbagai masalah sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara. - Bernama, 31 Julai, 2013.

Comments

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments